BEREGU lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terus membawa harapan Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland 2023 di Basel selepas dua lagi wakil negara tersingkir dalam aksi suku akhir pada Sabtu.
Yew Sin-Ee Yii mara ke separuh akhir acara beregu lelaki, setelah tewas set pertama 16-21 sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-12, 21-19 ke atas gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana pada pertembungan di St Jakobshalle itu.
Yew Sin-Ee Yii selaku pilihan ketiga kejohanan akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir yang akan berlangsung pada Sabtu.
Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menepati ramalan mengiringi kemaraan itu bagi acara beregu campuran selepas menundukkan wakil Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-18, 21-18 dalam pertembungan selama 36 minit.
Menanti Soon Huat-Shevon di separuh akhir, beregu Belanda Robin Tabeling-Selena Piek yang menewaskan satu lagi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-19, 19-21, 21-19.
Nasib turut tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila terpaksa menarik diri pada set kedua perlawanan berikutan kecederaan, selepas tewas set pertama 11-21 di tangan pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan Chou Tien Chen.
Pemain profesional perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut mengesahkan slot separuh akhir selepas menewaskan Lee Chia Hao dari Taiwan pada Jumaat. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram