PENYERANG muda tempatan, Arif Aiman Hanapi sekali lagi menjadi bahan bualan hangat apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Jepun.
Perkara tersebut disahkan menerusi laporan media antarabangsa, Football Tribe dengan mengatakan kelincahannya menarik perhatian salah sebuah kelab Jepun iaitu Kashiwa Reysol.
Kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol dikatakan berminat untuk menyunting pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT) yang juga pemain kebangsaan itu.
Arif Aiman menarik tumpuan pasukan luar negara dengan kelincahan yang dimiliki olehnya. — Instagram/ariifaiman42
"Arif Aiman disifatkan sebagai pemain sayap kanan yang memiliki kepantasan dan memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Malaysia untuk dua musim berturut-turut dalam skuad Harimau Selatan.
"Pemain berusia 21 tahun itu turut meledak tiga gol dan mencatat 13 bantuan gol dalam 21 daripada 22 aksi liga musim lalu dan pernah berentap bersama dua lagi wakil Liga J iaitu Kawasaki Frontale dan Urawa Red Diamonds," lapornya.
Tawaran tersebut tidak dinafikan membuka peluang untuk Arif namun ada penyokong mencadangkan agar pemain muda itu meneruskan dahulu perjuangan bersama JDT.
Kashiwa Reysol menjadi kelab terbaharu menyatakan minat mahu mendapatkan khidmat Arif Aiman.
"Musim depan oklah kalau nak pergi, musim ini kena capai sasaran Liga Juara-juara AFC (ACL) boleh sampai mana. Kalau dapat lagi lawan kelab Jepun, baru tahu boleh dapat bermain kesebelasan utama kalau dekat sana atau tidak, teringat Hadi Fayyadh dekat Jepun," kata Strategi Automasi.
"Pergi saja Man (Aiman), kau masih muda dan memang perlukan pengalaman yang lebih luas, untuk diri sendiri dan negara juga, andai kata tidak serasi di sana, nanti dekat JDT akan sambut balik," kata Qhai Rui'z Iv.
"Kalau kelab yang regular main dekat ACL boleh dipertimbangkan untuk turut serta, kalau tak layak main ACL lebih baik kekal dengan JDT, tiap-tiap tahun dapat 'ayamkan' Kedah dan Selangor," kata Khairul Faizi Bin Omar.
Tambahan pula, skuad Harimau Selatan menjadi juara dalam peringkat kumpulan I dengan kutipan mata sebanyak 13 dalam Liga Juara-Juara AFC musim lepas. Arif Aiman membantu pasukannya itu memenangi empat perlawanan.
Namun begitu, pasukan JDT nampaknya terpaksa akur pada pusingan ke-16 dengan kekalahan 0-5 ketika menentang Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama, Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram