HARIMAU Malaya meneruskan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa dengan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan Kelas 1.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon beraksi dengan cemerlang sepanjang 90 minit permainan.
Jaringan pemain sayap, Akhyar Rashid pada separuh masa pertama sudah cukup untuk menggembirakan penyokong yang hadir ke stadium dengan dia tenang melorongkan bola menewaskan penjaga gol lawan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila rata-rata peminat setia Harimau Malaya tidak henti-henti menjulang nama penyerang berusia 23 tahun berkenaan.
Selain jaringan itu, percubaan kencang Akhyar turut menarik perhatian dengan legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan memberi pujian melambung kepadanya.
Namun, apa yang turut mengundang perbincangan dari penyokong pasukan adalah persembahan kurang meyakinkan daripada pemain pertahanan, Dominic Tan.
Prestasi Dominic masih belum cukup meyakinkan setakat ini. — Facebook/FAM
Dia dikatakan terlalu mudah melakukan kesilapan apabila dia gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya sehingga menggugat gawang gol.
Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati pemain Sabah FC itu dikritik sehingga memaksa Pan-gon untuk digugurkan daripada kesebelasan utama.
"Dominic tidak boleh melakukan hantaran sebaik pertahanan muda Johor Darul Takzim (JDT), Feroz Baharuddin dengan gaya permainannya masih tiada keserasian," kata Arief Badiuzzaman.
"Setuju, Dominic ini saya tidak terlalu minat dengan cara dia bermain. Kadang-kadang, dia melakukan perkara bahaya," kata Mohamad Arisman.
"Setuju juga, hantaran jauhnya sering dilakukan, tapi janganlah terlalu membazirkan bola kerana mudah diambil pihak lawan," kata Mohamad Hazrin.
Skuad kebangsaan selepas ini bakal berdepan Hong Kong pada Selasa dalam usaha mereka meningkatkan kedudukan dalam ranking dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram