Selepas dikaitkan ke Korea, media Jepun pula tertarik dengan Arif Aiman


  • Podium
  • Khamis, 23 Mac 2023

Arif Aiman sebelum ini dikatakan memikat perhatian beberapa kelab Korea Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENYERANG muda tempatan, Arif Aiman Hanapi sekali lagi menjadi bahan bualan hangat apabila dikaitkan pula dengan perpindahan ke Liga Jepun.

Perkara berkenaan dilaporkan media di Negara Matahari Terbit itu dengan mengatakan kelincahannya menarik perhatian salah sebuah pasukan iaitu Kashiwa Reysol.

"Arif Aiman kini berusia 20 tahun ialah penyerang pantas yang posisi utamanya ialah pemain sayap kanan.

"Selepas melakukan penampilan pertamanya bersama pasukan teratas di Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) pada 2020, dia memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Malaysia untuk dua musim berturut-turut," lapornya.

Tambah laporan berkenaan, pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini menarik perhatian ketika aksi Liga Juara-juara AFC (ACL) menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale dan Urawa Red Diamonds.

Sepanjang kempen musim lalu, pemain kelahiran Pahang itu menjadi watak utama apabila mudah mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan dengan gelecekannya.

Dia sebelum ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke sebuah lagi gergasi Asia, Korea Selatan namun memilih untuk memberi tumpuan penuh terhadap skuad Harimau Selatan.

Ketika ini, Kashiwa Reysol berada di kedudukan ke-17 daripada 18 pasukan Liga 1 Jepun apabila masih mencari kemenangan pertama mereka musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram