DALAM beberapa jam lagi, penyokong Harimau Malaya akan disajikan dengan persembahan dari para pemain skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan Kelas 1 menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.
Meskipun perlawanan diadakan di venue yang berbeza namun Ultras Malaya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk hadir ke Selatan tanah air bagi memberi semangat dan sokongan kepada para pemain dengan laungan chant istimewa.
Sebelum ini, ada segelintir pihak pernah mempersoalkan sama ada penyokong tegar yang dikenali sebagai ekor Harimau Malaya itu akan turun hadir ke SSI berikutan pernah berlaku perselisihan faham antara Ultras Malaya dan ultras Johor Darul Takzim (JDT) Boys of Straits (BOS).
Mana tidaknya, pada aksi skuad kebangsaan menentang Turkmenistan bagi Kelayakan Piala Asia 2023 dan kejohanan Piala AFF 2022, kelibat BOS tidak kelihatan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) disebabkan salah faham dengan penyokong kelab lain.
Namun kali ini, demi panggilan pertiwi, BOS dan Ultras Malaya akan bersama-sama turun ke SSI untuk berikan sokongan serta menjadi pemain ke-12 skuad di bawah kendalian Kim Pan-gon.
Restoran makanan segera Woodfire antara kedai makan yang boleh dikunjungi penyokong di SSI. — Facebook/JDT
Ultras JDT juga difahamkan sangat mengalu-alukan kedatangan penyokong tegar skuad kebangsaan sehinggakan ada di antara mereka sudah memberi perkongsian mengenai fasiliti di SSI untuk memudahkan urusan Ultras Malaya pada bulan Ramadan.
Antara fasiliti yang akan memudahkan penyokong di bulan Ramadan ialah kedai makan dan minuman untuk berbuka puasa dan kemudahan surau bagi menunaikan solat dengan selesa sebelum sepak mula pada 10.00 malam.
"InsyaALLAH dipermudahkan urusan perjalanan Ultras Malaya ke SSI.. selamat pergi dan balik.. Selamat menyambut bulan Ramadan.. Surau di SSI amat selesa untuk solat dan terawih nanti.. kedai-kedai pun ada untuk juadah buka puasa," kongsi seorang ahli ultras JDT, Rosdi Jais.
"Best SSI ini, hari itu datang dari KL (Kuala Lumpur) pun selesa. Solat senang, parking senang, nak makan pun senang. Cuma kita sebagai penyokong janganlah tak jaga kebersihan, datang tempat orang kan?," kongsi seorang lagi ahli ultras JDT, Karim Al-Maliki.
Untuk rekod, Harimau Malaya sebelum ini menewaskan Turkmenistan 3-1 sekali gus menjadi detik berharga buat Malaysia kerana berhasil mara Malaysia ke Piala Asia 2023 secara merit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram