Kena 'bahan' dengan fans JDT, tapi 'cinta lama' tampil pertahan Faisal Halim


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Faisal kini merekodkan empat bantuan gol bersama Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

SELANGOR FC yang sudah mengharungi empat perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini nampaknya semakin mendapat rentak kejayaan.

Dengan merekodkan tiga kemenangan dan satu seri sepanjang empat perlawanan setakat ini seakan-akan sudah berhasil meletakkan Selangor FC di tangga ketiga Liga Super dan ia juga cukup membuktikan Gergasi Merah bakal menjadi pesaing utama musim ini.

Keputusan positif yang dihasilkan itu pastinya berlaku hasil kerja keras barisan kejurulatihan dan para pemain yang bertungkus-lumus memastiksn skuad The Red Giants peroleh tiga mata berharga.

Bagaimanapun, di sebalik rekod tanpa kalah Gergasi Merah itu, ada juga suara-suara sumbang yang mengkritik persembahan pemain Selangor FC dan antara yang banyak menerima kecaman ialah tonggak sayap lincah, Faisal Halim.

Kritikan terhadap pemain kebangsaan itu mulai hadir apabila Faisal masih gagal menjaringkan gol sulung bersama Gergasi Merah selepas empat perlawanan Liga Super musim ini.

Setakat empat aksi Liga Super, pemain berusia 25 tahun itu hanya merekodkan empat bantuan gol bagi membantu jentera serangan kelab Selangor FC mencabar kejuaraan.

WhatsApp Image 2023-03-14 at 12.46.30

Faisal sebelum ini menyarung jersi Terengganu FC. — Facebook/TFC

Justeru itu, ada pihak terutamanya penyokong pihak lawan yang mulai mempersoalkan kehebatan pemain yang mesra dengan panggilan Mickey itu.

“Empat perlawanan tapi masih mandul jaringan. Tak lain tak bukan pemain yang lebih kejar populariti, Mickey. Walaupun banyak assist (hantaran bantuan) tapi buat makluman, tiada anugerah assist terbanyak yang dipertandingkan. Harap maklum,” komen penyokong Johor Darul Takzim (JDT), Harimau Selatan X.

Meskipun Faisal menerima tohmahan daripada segelintir pihak, ‘cinta lama’ pemain kelahiran Pulau Pinang itu iaitu penyokong kelab lamanya, Terengganu FC (TFC) tampil mempertahankannya.

Penyokong TFC, Yuh Ahliah dalam satu hantaran di laman Facebook, Penyokong Terengganu FC menyatakam bahawa hantaran bantuan yang dilakukan Faisal adalah satu usaha yang baik untuk membantu pasukan Selangor.

“Main dengan pasukan lain awal-awal kena hina dah. Assist pun satu usaha yang bagus juga. Dalam padang kita main 11 orang bukan main seorang diri, kalau bukan kita sumbat gol kawan-kawan kita tolong sumbat gol.

“Satu perlawanan kalau awak 10 gol pun tetap boleh tiga mata juga, jadi berlawan untuk menang sudah lah..bukan pertandigan pemain mana buat banyak gol. Messi dengan Ronaldo tukar pasukan baharu pun..empat hingga lima perlawanan baru jumpa gol,” komennya.

Untuk rekod, Faisal mengumpul keseluruhan 11 gol dalam kempen Liga Malaysia musim lepas apabila meledak enam gol dalam saingan Liga Super, Piala FA (tiga) dan Piala Malaysia (dua) berama Terengganu.

Dengan kunjungan Harimau Selatan ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat ini mungkin akan menjadi peluang buat Faisal menunjukkan taringnya yang sebenar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram