Cristiano Ronaldo kembali reunion dengan 2 rakan lamanya di United


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Penampilan terakhir Ronaldo untuk Portugal berakhir dengan kekecewaan kerana ditewaskan oleh Maghribi pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar. — Agensi

JURULATIH baharu skuad Portugal, Roberto Martinez mengatakan akan mengadakan perbincangan dengan Cristiano Ronaldo selepas menamakan bekas penyerang Manchester United itu dalam kelayakan Euro 2024.

Penampilan terakhir Ronaldo untuk pasukan kebangsaan Portugal berakhir dengan kekecewaan kerana ditewaskan oleh Maghribi pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Kekalahan tersebut yang menyebabkan Fernando Santos dilucutkan jawatan sebagai pengendali Portugal dan dia digantikan oleh Martinez iaitu bekas pengurus Wigan Athletic, Everton dan Belgium.

Pemain berusia 38 tahun itu telah dipanggil dalam skuad antarabangsa pertama sejak Piala Dunia untuk perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Liechtenstein dan Luxembourg.

Mengulas mengenai keputusannya memasukkan kapten Al Nassr itu, Martinez berkata, Ronaldo adalah pemain yang sangat komited dan bekas pemain Real Madrid itu mampu membawa pengalaman kepada pemain lain.

"Cristiano Ronaldo adalah pemain yang sangat komited. Dia boleh membawa pengalaman dan merupakan contoh yang sangat penting untuk pasukan. Saya tidak melihat pada usia,” katanya.

Portugal akan bersaing dalam Kumpulan J kelayakan Euro 2024 bersama Iceland, Slovakia, Bosnia-Herzegovina, Liechtenstein dan Luxembourg.

“Saya mahu membina pasukan yang menunjukkan kualiti pemain yang ada pada Portugal.

"Ini adalah titik permulaan. Saya melihat kualiti, pengalaman, remaja, pemain yang bermain di dalam dan juga di luar negara. Saya telah melihat banyak komitmen daripada mereka semua untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Keputusan Martinez memanggil Ronaldo itu secara tidak langsung akan menyaksikan ‘reunion’ semula dengan rakan lamanya di Manchester United iaitu Diogo Dalot dan Bruno Fernandes. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram