[VIDEO] Selepas kena 'boo' fans PSG, musuh kelab CR7 pantas 'selamatkan' Messi


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Tangkap layar penyokong mengejek Messi ketika namanya dibacakan oleh juruhebah stadium.

SELEPAS tewas empat daripada lapan perlawanan terakhir, penyokong Paris Saint Germain (PSG) meletakkan kesalahan tersebut kepada bintang terkemuka, Lionel Messi susulan kemerosotan prestasinya.

Beberapa penyokong di dalam Stadium Parc des Princes, Paris, Perancis menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Messi dengan memberi ejekan 'boo' ketika namanya dibacakan oleh juruhebah stadium ketika kekalahan 0-2 di tangan Rennes.

Selepas video tular memaparkan sesetengah penyokong PSG seperti tidak menghargai bintang Argentina itu, hadir khabar angin mengaitkan Messi akan mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo beraksi di Liga Pro Saudi.

Selepas Al-Nassr menandatangani Ronaldo pada Disember lalu, nampaknya kelab Arab Saudi lain iaitu Al-Hilal juga ingin menyaingi musuh tradisi itu dalam mencari pemain superstar mereka dan Messi antara pilihan utama.

Dengan kontrak pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu akan tamat pada penghujung musim ini bersama PSG, Al-Hilal dikatakan semakin hampir untuk menandatangani pemenang Piala Dunia FIFA 2022 tersebut.

Mengenai gaji pemain berusia 35 tahun itu, Al Hilal bersedia untuk menjadikan Messi sebagai pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah bola sepak mengatasi angka Ronaldo di Al-Nassr.

Namun begitu, Al-Hilal sedikit bergelut untuk membawa masuk ketua pasukan Argentina itu kerana Messi dikatakan berminat untuk bermain dalam Liga Juara-Juara UEFA musim depan dan kelab lamanya Barcelona difahamkan menjadi pilihan utamanya.

Selain itu, kelab Arab Saudi itu juga bermatlamat untuk membawa masuk Neymar Jr. namun ia juga merupakan satu lagi sasaran sukar kerana pemain sayap itu masih ingin beraksi di PSG dan mempunyai kontrak sehingga musim 2027.

messi

Tangkap layar hantaran dari almatarapp.

Dalam pada itu, menerusi ciapan terbaharu di laman penaja rasmi Al-Hilal iaitu almatarapp seperti memberi petunjuk akan membawa masuk Messi yang mana akaun Twitter tersebut membuat ciapan iklan 'Selamat datang, bintang kami' sambil memaparkan grafik Leo Messi dan kod diskaun 'M10'. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram