Tonggak ‘last man’ Sang Kenari enggan terlalu terbuai dengan pujian lepas ledak jaringan


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Akmal (kanan) menjadi watak utama ketika KDA FC menumpaskan Kuching City FC. — Facebook/KDA FC

TONGGAK pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Akmal Zahir enggan terus terbuai dengan pujian selepas menjaringkan gol menarik pada minggu lalu.

Anak jati Kedah itu semakin mencuri tumpuan selepas melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol ketika menentang Kuching City di laman sendiri bagi mencatat kemenangan 3-0 kepada skuad Sang Kenari.

Meskipun tidak beraksi di bahagian serangan, Akmal menganggap sudah menjadi tanggungjawab pemain untuk tidak mensia-siakan peluang bagi meledak jaringan selain berharap mampu untuk terus memberi impak besar kepada KDA FC musim ini.

Namun, bekas pemain Melaka United FC itu tidak mahu terlalu teruja dengan pencapaian terkini dan sebaliknya dia ingin bersedia untuk perlawanan-perlawanan yang lebih sukar sebaik sahaja Liga Super kembali bersambung.

“Kalau ikutkan, memang la sampai sekarang masih teringat lagi dengan gol tempoh hari, tapi dah sampai masa kita jadikan benda tu sebagai sejarah sebab liga masih lagi panjang dan kena fokus ke hadapan.

“Memang ia akan sentiasa menjadi pengalaman indah untuk saya dalam karier lagi-lagi saya bermain untuk negeri sendiri tetapi selepas ini sudah tentu akan ada banyak lagi cabaran-cabaran yang kita akan lalui," katanya kepada MFL.

Skuad kendalian Nafuzi Zain akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 1 April untuk aksi keenam Liga Super dan pasukan itu dilaporkan sudah kembali berlatih pada Selasa.

336709203_1157651384929979_6942033256082532663_n

Skuad Sang Kenari berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas lima perlawanan. — Facebook/KDA FC

Tambah Akmal lagi, perlawanan seterusnya itu dilihat akan menjadi pertembungan yang sukar memandangkan Sri Pahang ketika ini dilihat begitu konsisten tanpa kekalahan selepas lima aksi dan tempoh masa berehat kini sangat penting untuk mereka mempersiapkan diri.

“Kita tahu Sri Pahang tahun ini cukup padu kalau nak dibandingkan dengan musim lepas tetapi saya rasa penting untuk kita fokus kepada persembahan pasukan sendiri.

“Untuk Kedah pula, secara peribadi saya rasa kita masih belum lagi berada di tahap yang kita inginkan dan masih fasa menyesuaikan diri, cuma peningkatan itu memang kita ada nampak.

“Untuk membentuk satu pasukan yang kuat, peningkatan dari hari ke hari itu adalah penting dan itu yang kita nampak untuk Kedah pada musim ini," tambahnya.

Kedah Darul Aman kini di tangga ketiga Liga Super dengan 12 mata selepas mencatat empat kemenangan dan satu kekalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram