Bakal ikut jejak Adisak, 3 kelab utara berebut sambar khidmat penyerang Bangkok United


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Pombubpha dikhabarkan bakal bermain di Liga M bersama sebuah pasukan dari utara tanah air. — Agensi

SEORANG lagi penyerang dari Liga Thailand dijangka akan beraksi di Liga Malaysia (Liga M) musim ini sebaik jendela perpindahan kedua dibuka pada pertengahan tahun ini.

Pemain yang dimaksudkan ialah Chananan Pombubpha yang kini beraksi bersama kelab Bangkok United.

Perkongsian mengenai khabar angin perpindahan pemain berusia 31 tahun itu dikongsikan Flash Sukan di Facebook dengan memaklumkan khidmat Pombubpha kini sedang diintai oleh salah sebuah kelab dari utara tanah air.

"Sumber rapat admin dari Thai maklum, pemain Bangkok United ini akan bermain di Liga Malaysia bersama sebuah pasukan dari utara.

"Apapun ia adalah jangkaan awal. Tunggu dan lihat di pusingan kedua saingan Liga Malaysia nanti," tulisnya pada Selasa.

Jika pasukan yang bakal disertai Pombubpha ialah kelab utara tanah air, boleh jadi kelab tersebut mungkin Kedah Darul Aman (KDA FC), Penang FC atau Perak FC yang beraksi di Liga Super.

Berdasarkan kuota import sedia ada KDA FC, skuad Sang Kenari kendalian Nafuzi Zain memiliki tujuh pemain asing.

Mereka ialah Willian Lira (Brazil), Jonathan Balotelli (Brazil), Bojan Ciger (Serbia), Amirbek Juraboev (Tajikistan), Manuel Ott (Filipina), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Alan Robertson (Afrika Selatan).

Kemungkinan penyertaan Pombubpha bagi mengisi slot kuota import Asean kelab tersebut memandangkan pasukan itu masih mempunyai dua tempat untuk pemain import bagi menghadapi saingan Liga M.

1958661

Trio import Perak FC yang berasal dari Korea Selatan. Facebook/Perak FC

Pasukan Penang FC pula sudah melengkapkan kuota sembilan import ketika ini dengan dibarisi Soony Saad (Lubnan), Curt Dizon (Filipina), Ousman Fane (Perancis), Ryu Yamaguchi (Jepun), Zaw Min Tun (Myanmar), An Sae Hee (Korea Selatan), Giovani Gomes (Brazil), Adriano Narcizo (Brazil), Rafae Vitor (Brazil).

Bagi pasukan Perak FC, ada kemungkinan besar pemain itu bakal dibawa masuk ke kelab The Bos Gaurus memandangkan tempat untuk kuota import masih ada.

Skuad Seladang pada saat-saat akhir menandatangani tiga import Korea Selatan iaitu Lee Joo-han, Seo Seonung dan Sim Hyun-ki musim ini sebagai tambahan kepada pemain asing sedia ada Christian Obiozor dan Sunday Afolabi (Nigeria) serta Luciano Guaycochea (Argentina).

336657216_1308447146553487_7324082363291137951_n

Adisak (tengah) beraksi dengan Terengganu FC musim ini. — Facebook/ Terengganu FC

Jika perpindahan tersebut direalisasikan, ia bermakna Pombubpha bakal mengikut jejak langkah Adisak Kraisorn yang menyertai Terengganu FC pada awal musim ini.

Pombubpha ialah penyerang berketinggian 1.82 meter dan turut memiliki kemampuan beraksi di posisi sayap.

Musim lalu pemain berasal dari Pathum Thani itu beraksi dalam 17 perlawanan liga untuk Bangkok United dan mencetak tujuh jaringan. Dia bagaimanapun belum beraksi untuk kelabnya musim ini.

Sebelum berhijrah ke Bangkok United, Chananan Pombubpha pernah meraih gelaran juara liga bersama Muanthong Uited pada musim 2009.

Di peringkat antarabangsa, pemain ini turut pernah membantu Thailand meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2013 dan 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram