'Peledak berbisa Sri Pahang is back', fans Tok Gajah 'warning' Kedah baik tarik diri sebelum kena baham 7-0


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Lucas sebelum dilaporkan mengalami kecederaan lutut. — Facebook/SriPahang

PENANTIAN Sri Pahang FC untuk melihat peledak berbisa, Lucas Silva bakal berakhir apabila kelibat import dari Brazil itu sudah kelihatan turun bersama rakan sepasukannya di sesi latihan skuad Tok Gajah.

Sebelum ini Majoriti melaporkan bahawa Lucas dilanda kecederaan lutut sehingga memaksanya untuk berehat panjang dan disebabkan itu Sri Pahang terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat pemain tersebut di jentera serangan.

Sepanjang ketiadaan Lucas, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad terpaksa menggunakan Kpah Sherman untuk mengemudi jentera serangan dan perkara itu sedikit sebanyak merencatkan bahagian depan Tok Gajah sepanjang lima perlawanan awal ini.

Kembalinya Lucas di sesi latihan, Kpah kini tidak perlu bergelut lagi untuk menggerakkan bahagian depan kerana import berusia 32 tahun itu cukup dikenali dengan kemampuannya dalam merobek gawang lawan.

kpah sherman

Kpah juga akui bergelut untuk menguasai bahagian depan secara individu. — Facebook/SriPahang

Perkongsian Sri Pahang di laman Facebook yang memaparkan Lucas sedang berlatih menjaringkan gol bersama pemain lain jelas memberi senyuman buat para penyokong Tok Gajah.

Rata-rata penyokong tidak sabar untuk melihat bekas pemain Penang FC itu membuat penampilan pertamanya di Liga Malaysia (Liga M) bersama Sri Pahang, selain menunggu dia menghadiahkan gol buat kelab Pantai Timur itu.

Bukan itu sahaja, ada juga penyokong berharap agar Lucas dapat diturunkan dan menjadi taruhan utama Fandi untuk aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 1 April ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

"Pasukan Kedah masih ada masa lagi untuk tarik diri," komen penyokong Tok Gajah, Sukri Azhar.

"Penyokong Lucas kata mahu 7-0 lawan 1 April nanti," tambah seorang lagi penyokong Sri Pahang, Nizzar Zakaria.

"Kpah dengan Lucas bergabung,sendiri mahu ingatlah lepas ini penyokong Pahang tidak sempat nak duduk, bersorak sajalah meraikan gol hihihi," kata penyokong Tok Gajah, Tiger Sun yang yakin bahawa gandingan Kpah dan Lucas mampu memberi tiga mata penuh pada aksi menentang Kedah nanti.

Rekod Lucas bersama skuad Harimau Kumbang sebelum ini iaitu meledak 11 gol daripada 15 perlawanan disertainya dalam kempen Liga M musim 2022 menjadi faktor utama penyokong yakin akan kemampuannya.

Kehadiran Lucas juga berkemungkinan akan membantu melonjak kedudukan Sri Pahang yang kini berada di kedudukan kelima Liga Super dengan mengutip sembilan mata daripada dua kemenangan dan tiga seri selepas lima perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram