PDRM bukan pasukan gah tapi jangan lagi tertawakan kami — Azzmi


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Kejayaan meraih dua kemenangan setakat ini membuktikan PDRM FC bukanlah pasukan belasahan, ‘pengacau’ mahupun pasukan ‘lauk’. — Facebook

LAPTOP Cabuk menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

MERENDAH diri memang menjadi resminya sejak sekian lama tapi ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, percaya pasukannya kini sudah sampai ke tahap ia mendapat perhatian dan tidak lagi dianggap 'budak belasahan'.

Rekod bolos hanya lima gol di samping pintu golnya tidak ditembusi dalam tiga daripada lima perlawanan Liga Super sebelum ia berhenti rehat, menjadi bukti statistik untuk menyokong kepercayaannya itu.

Mengejutkan ramai dengan menduduki tangga keenam buat sebuah pasukan yang asalnya daripada Liga Perdana musim lalu, seharusnya PDRM menuntut tumpuan bahawa ia ketika ini berada di atas pasukan-pasukan lebih ternama, termasuk Perak FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City yang tentunya dibekalkan dana lebih besar.

336298369_881373933153240_7961103956453872470_n

PDRM FC berada dalam kelompok enam terbaik selepas meraih dua kemenangan setakat ini. — Facebook

“Saya setuju dengan persepsi bahawa kami sekadar sebuah pasukan dari Liga Perdana, itupun dalam kelompok pertengahan dan bukannya juara atau naib juara.

“Mungkin benar PDRM, yang memiliki bajet kecil dan dirasakan tidak setaraf dengan pasukan-pasukan besar dalam Liga Super, ditertawakan sebelum musim ini bermula.

“Tapi sekarang persepsi itu dah berubah dan orang mula beri perhatian. Selepas lima perlawanan, PDRM bukan lagi pasukan yang boleh ditertawakan,” katanya dalam temu bual dengan Laptop Cabuk sambil menambah ia tidak akan mengalpakan mereka dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Orang mudah membuat apa saja penilaian di atas kertas. Lazimnya pasukan-pasukan besar yang mendapat perhatian tapi kami cukup selesa umpama pasukan pinggiran yang lebih rela membiarkan keputusan dalam perlawanan bercerita untuk kami,” katanya lagi.

328162918_873349283756510_4243188818337091414_n

Azzmi berkata, PDRM FC sudah menunjukkan peningkatan dalam corak permainan. — Facebook

Persepsi negatif terhadap PDRM sudah pun terbentuk daripada perlawanan pertama lagi apabila mereka dibelasah 4-0 oleh Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 25 Februari lalu, disusuli terikat 0-0 dengan Perak di Petaling Jaya, tiga hari kemudian.

Namun, kemenangan mengejut 1-0 ke atas Kedah FC di Alor Setar pada 4 Mac – kapten tuan rumah, Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, dikenakan kad merah – mengubah segala-galanya buat PDRM yang serta-merta menjadi bahan bualan, terutama di alam maya.

“Ya, kemenangan itulah yang menjadi titik peralihan buat kami.

“Sebenarnya, PDRM sudah menunjukkan peningkatan corak permainan dalam kekalahan kepada Kedah FC dan seri dengan Perak FC lagi.

“Menang ke atas Kedah membuat pemain-pemain saya meningkat daripada segi keyakinan dan percayakan kemampuan mereka sendiri,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

329158250_1367147297214436_2601054115265031487_n

Jaringan tunggal Bruno Suzuki berjaya menundukkan pasukan KDA FC. — Facebook

Malah, rekod dua menang, satu seri dan dua kalah, untuk menghimpun tujuh mata – lapan mata di belakang Johor Darul Takzim (JDT) selaku pendahulu – mengangkat PDRM sebagai bukan pasukan yang boleh diperlekehkan.

“Yang pasti, kami bukan pasukan belasahan, (sebaliknya) ada yang kata kami giantkiller,” kata Azzmi, yang profil di telefon bimbitnya tertulis, ‘Play better football, no silly long pass' (Bermain bola sepak yang lebih baik, tiada hantaran jauh yang bodoh).

PDRM, tambahnya, tidak kisah jika ada pasukan lawan yang mahu terus beranggapan bahawa The Cops adalah pasukan ‘pengacau’ mahupun pasukan ‘lauk’, malah mengalu-alukannya.

“Pengacau? Saya rasa tak lah, cuma saya harap kami pasukan yang mampu bersaing.

“Jawapan saya kepada pasukan yang anggap kami ‘lauk’? Bagi saya, baguslah jika PDRM terus dipandang rendah.

330310124_732339858480746_3212543872203841831_n

Azzmi berjanji akan terus memastikan pemain-pemainnya tidak terbuai-buai dengan kemajuan di peringkat awal ini. — Facebook

“Tapi lepas lima game, anggapan itu tidak ada lagi,” katanya, sambil mempertahankan pasukannya lebih bermirip kepada barisan yang sangat berdisiplin ketika bertahan dan bercirikan pasukan yang permainannya lebih kepada menyerang balas.

“Yang pasti, kami bukan long ball team (pasukan yang bergantung kepada hantaran jauh),” tambahnya.

Bagaimana PDRM mahu mengorak langkah selepas ini?

“Kami mahu meningkatkan lagi kedudukan kami dalam carta.

“Apa yang mampu kami tunjukkan setakat ini ialah satu proses yang nyata. Kalau ada persiapan yang betul, proses yang betul, kejayaan akan datang juga,” kata Azzmi yang berjanji akan terus memastikan pemain-pemainnya terus berpijak di bumi nyata dan tidak terbuai-buai dengan kemajuan di peringkat awal ini.

Berikut analisis ringkas Azzmi terhadap prestasi pasukannya dalam lima perlawanan:

Lwn Sabah 0-4 (Away)

Dah main baik, cuma kurang bernasib baik tak dapat jaringkan gol.

Lwn Perak 0-0 (Home)

Guna formasi menekan tinggi untuk menangani barisan muda lawan tapi sekali lagi gagal manfaatkan peluang.

333824592_602659517925133_1667584508547408434_n

Aksi PDRM FC ketika menentang Perak FC dalam saingan liga baru-baru ini. — Facebook

Lwn Kedah FC 1-0 (Away)

Bermain lebih baik, pemain lebih berkeyakinan (terutama selepas Manuel Ott dibuang padang) dan ini jadi titik peralihan.

Lwn Terengganu 0-1 (Away)

Dapat menyaingi pasukan tuan rumah itu tapi kad merah Mohamad Ramdhan Ab Hamid sejurus sebelum rehat menyulitkan keadaan.

Lwn Kelantan United 2-0 (Home)

Pemain menunjukkan keyakinan untuk mengeksploitasi lawan yang sedang berhempas-pulas dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram