Bola sepak Finland lebih taktikal berbanding Malaysia — Nooa Laine


  • Podium
  • Isnin, 20 Mac 2023

Laine bangga berada dalam senarai 27 pemain skuad Harimau Malaya. — Facebook/ FAM

PEMAIN warisan Malaysia-Finland, Nooa Laine berharap panggilan pertamanya menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya akan menjadi platform untuk menunjukkan keupayaannya, sekali gus mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Pemain berusia 20 tahun, yang baru menyertai kelab SJK Akatemia di Liga Divisyen 1 Finland, dikatakan diiktiraf oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, adalah sesuatu yang baik dan berasa bangga berada dalam senarai 27 pemain.

"Saya mahu menyertai (kesebelasan utama), jika tidak sekarang, mungkin pada masa depan, saya akan menjadi sebahagian daripada pasukan dan mahu menunjukkan nilai yang ada pada diri saya untuk membantu pasukan.

"Sudah tentu ia sukar sekarang, saya hanya berlatih sekali dengan pasukan, bukan dengan semua pemain. (Tetapi akhirnya), itu yang saya mahu lakukan, untuk membantu pasukan (Harimau Malaya),” katanya kepada pemberita pada sesi latihan pusat di Padang Sri Gelam, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

336499551_737798157891381_223090921228647331_n

Laine (kanan) menerima sokongan hangat daripada peminat dan akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi jangkaan mereka. — Facebook/ FAM

Laine, yang bermain sebagai pemain tengah, turut menyifatkan perbezaan dalam latihan antara skuad kebangsaan serta bermain bersama kelab di Finland.

"Sukar untuk dikatakan kerana saya tidak bermain dalam liga tetapi dalam pasukan kebangsaan ini, pemainnya sangat bagus dan berkemahiran dan bola sepak mungkin berbeza dengan Finland. Di Finland ia lebih taktikal, pemain lebih ‘straight-forward’, katanya.

Laine juga berkata bahawa dia menerima sokongan hangat daripada peminat dan akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi jangkaan mereka.

Selain Laine, muka baharu lain yang dipanggil ialah penjaga gol Damien Lim (Sabah FC), Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC), Endrick dos Santos (Johor Darul Takzim FC) (JDT), Muhamad Feroz Baharudin (JDT), Daniel Sang Ting (Sabah FC) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC).

Skuad Harimau Malaya sedang membuat persiapan menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis ini dan Selasa depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram