TMJ bawa Bergson tengok Harimau Malaya, bakal jadi pemain naturalisasi seterusnya?


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Musim 2023 merupakan tahun ketiga Bergson bermain bersama JDT. — Facebook/JDT

SIAPA tidak mengenali Bergson da Silva, seorang penyerang prolifik yang amat berbahaya buat pertahanan lawan apabila bola berada di kakinya.

Sejak kehadiran Bergson di dalam kancah bola sepak Malaysia, penyokong-penyokong tempatan sering disajikan dengan aksi gol-gol rembatan deras ataupun jaringan jarak jauh oleh penyerang berkaki kanan ini.

Musim lalu, penyerang kelahiran Brazil ini berjaya merampas takhta kasut emas yang dipegang oleh Ifedayo Olusegun buat dua musim berturut-turut ketika bersama Selangor FC.

Bergson turut berjaya memecahkan rekod jaringan dengan 29 gol melebihi pemain-pemain yang pernah memenangi kasut emas di Liga Super sebelum-sebelum ini.

Menurut laman Facebook The Red Eagle - Helang Merah, Tengku Mahkota Johor (TMJ) dipercayai membawa Bergson menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di pusat latihan Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini.

Bergson merupakan penjaring terbanyak Liga Super 2022. Facebook/JDT

Ia sekali gus timbul tanda tanya penyokong Harimau Malaya adakah Bergson bakal dinaturalisasikan oleh TMJ selepas cukup tempoh lima tahun bermain di Malaysia?

"Dua tahun akan datang, skuad kebangsaan bakal dapat sentuhan penyerang berbisa JDT iaitu Bergson da Silva.

"Dia telah berkhidmat bersama JDT selama tiga tahun dan dua tahun lagi, Bergson bakal mendapat kerakyatan warga negara Malaysia.

"Kelmarin, media sempat merakam kelibat Bergson bersama TMJ ketika memantau sesi latihan skuad Harimau Malaya, satu petanda TMJ bakal naturalisasikan Bergson.

"Jika Bergson dinaturalisasikan, Malaysia bakal peroleh seorang penyerang yang akan digeruni dirantau ASEAN," ujar The Red Eagle - Helang Merah di Facebook.

Bergson ketika baru menyertai JDT pada 2021. Facebook/JDT

Jika benar TMJ berniat untuk naturalisasikan Bergson, ia dilihat sebagai pelan jangka pendek buat skuad kebangsaan.

Namun ia merupakan perlaburan yang berbaloi jika dilihat prestasi semasa Bergson yang masih berbisa meskipun sudah berusia 32 tahun.

Untuk rekod Bergson pernah bermain untuk skuad remaja Brazil dan mencipta pelbagai kejayaan bersama kelab-kelab yang pernah diwakilinya.

Sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, Bergson telah menjaringkan 111 gol, 19 assist dalam 262 perlawanan bersama beberapa kelab di Brazil, Korea Selatan, Portugal dan JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram