Selain setia, 3 lagi bukti status naturalisasi Aguero cukup berbaloi


  • Podium
  • Isnin, 20 Mac 2023

Aguero dilihat cukup bersemangat setiap kali diturunkan bersama skuad kebangsaan.

PROGRAM naturalisasi yang dijalankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedikit sebanyak memberi kelebihan buat landskap bola sepak tanah air.

Salah seorang pemain yang diberikan status itu ialah pemain Sri Pahang, Sergio Aguero yang sudah beraksi dalam Liga Malaysia untuk lima tahun.

Ia dilihat sebagai satu pulangan yang cukup baik buat perkembangan sukan itu di peringkat kebangsaan apabila dia dilihat beraksi dengan cukup baik ketika ini.

Dalam empat penampilan Liga Super musim ini, pemain kelahiran La Rioja, Argentina itu diberi kepercayaan oleh pengendali pasukan, Fandi Ahmad untuk memakai lilitan tangan kapten.

Keputusan tersebut difahamkan berpunca daripada kelantangannya bersama rakan sepasukan di samping kemampuannya yang semakin bertambah baik sejak awal musim lalu.

Pandangan tersebut disokong oleh statistiknya setakat ini, yang mana dia sudah menjaringkan satu gol ketika berdepan Kelantan FC di samping mencipta satu bantuan gol ketika aksi menentang Perak FC.

LIGA M - 1

Aguero sudah menjaringkan dua gol bersama skuad kebangsaan setakat ini. Agensi

Di peringkat kebangsaan pula, pemain berusia 28 tahun itu juga tidak kurang hebatnya apabila dua jaringan peribadi ketika aksi Piala AFF membantu skuad kebangsaan menamatkan kempen di peringkat separuh akhir.

Namun, dengan lambakan pemain bintang dalam skuad Harimau Malaya, ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon memilih untuk menggugurkannya daripada skuad bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Aguero dilihat akur dengan keputusan itu dengan dia dapat menggunakan waktu tersebut untuk menambah baik prestasi serta kebolehannya di peringkat kelab.

Tidak cukup dengan itu, ia juga membuka peluangnya untuk melakukan satu sesi temu bual bersama pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengetahui serba sedikit waktu-waktunya dalam negara.

Apa yang menarik dalam perbualan itu adalah beberapa perkongsian yang diberikan pemain berkenaan sehingga menarik minat penyokong bola sepak tanah air.

Lebih membanggakan lagi, temu bual tersebut membuktikan bahawa Aguero merupakan salah seorang pemain yang paling layak untuk menerima status naturalisasi berdasarkan tiga sebab.

1. Sedang mempelajari Bahasa Melayu

Berdasarkan perkongsian tonggak Tok Gajah itu, dia dikatakan sedang dalam usaha untuk menambah baik kemampuannya untuk berturut dalam Bahasa Melayu.

Menurutnya lagi, Aguero juga menggunakan kesempatan pada setiap waktu lenggang dengan mengupah guru bagi membolehkannya menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih mudah.

"Saya belajar sebelum saya masuk ke skuad kebangsaan sebab saya ada guru yang ajar, tetapi apabila saya ke skuad kebangsaan, saya tiada masa untuk sambung belajar," katanya.

41677883959_SergioAguero

Aguero (kanan) merupakan antara tonggak Tok Gajah musim ini. Astro Awani

Setakat ini, hanya beberapa pemain import yang mempunyai kebolehan untuk berturut dengan fasih, terutamanya pemain tengah Sabah, Park Tae-su.

Walaupun ia bukanlah satu perkara yang ditekankan oleh FAM, perkara tersebut memberi gambaran bahawa Aguero mempunyai semangat untuk terus berada dalam Liga Malaysia.

Tambahan pula, kerelaannya untuk menceburi bidang itu pastinya meningkatkan semangat penyokong bola sepak tanah air, terutamanya peminat setia Tok Gajah.

2. Membuka arena futsal

"Idea ini datang sejak Jun tahun lepas, yang mana saya selalu bermain futsal dengan kawan-kawan dan ada saya tengok ramai orang suka main futsal.

"Jadi, saya balik dan berbincang dengan isteri mengenai perkara ini, kita sama-sama cari rakan bisnes yang tahu pasal benda ni,"

Ini merupakan antara perkongsian daripada Aguero ketika ditanya mengenai arena futsal yang dibangunkan di Kuantan, Pahang dengan ramai pengunjung dilaporkan hadir setiap kali waktu beroperasi.

Snapinsta.app_1080_326103060_6172769132753395_1957876004683389820_n

Sergio Aguero Arena membuka peluang kepada penduduk Kuantan terlibat dengan sukan itu. Instagram/sergio.aguero.arena

Arena yang diberikan nama Sergio Aguero Arena itu dilengkapi tikar sesuai dengan pemakaian sesiapa hadir dan berminat untuk melakukan aktivti rekreasi bersama rakan-rakan.

Tambahnya, dia memerlukan kira-kira enam bulan untuk membangunkan kompleks tersebut supaya lebih ramai penggemar futsal terlibat dalam sukan berkenaan.

Berdasarkan info yang diterima, Sergio Aguero Court boleh ditempah dengan harga serendah RM40 sejam bagi waktu pagi sementara RM85 sejam untuk waktu petang.

3. Melaksanakan tanggungjawab mengundi

Ketika baru sahaja mendapat kad pengenalan, Aguero mempamerkan keterujaannya dengan melaksanakan tanggungjawabnya mengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dia dilaporkan turun mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Semambu, Kuantan, Pahang selain mengakui dia cukup berbangga dengan tindakannya itu.

"Saya berbangga kerana menjadi warganegara Malaysia dan menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama. Harapan saya semoga Malaysia akan membentuk kerajaan yang stabil," katanya sebelum ini.

guro_1668846646

Aguero melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengundi ketika PRU15. Instagram/sergio.aguero

Tindakan Aguero itu dilihat menerima respons positif rata-rata penduduk tempatan yang berasakan bahawa pemain kelahiran Argentina berkenaan cukup serius dengan status naturalisasinya itu.

Selain itu, pemain tengah berkenaan juga berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab itu kerana menyokongnya sepanjang proses mendapatkan status warganegara.

"Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya serta keluarga. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram