Lama menghilang, kelibat import skuad Jang akhirnya muncul tapi bukan di pentas Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Negeri Sembilan FC berada di kedudukan kelapan Liga Super selepas empat perlawanan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEDUDUKAN di tangga kelapan Liga Super pastinya cukup mengecewakan buat penyokong Negeri Sembilan FC selepas satu musim yang amat membanggakan pada 2022.

Kekalahan 0-7 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada awal Mac lalu sedikit sebanyak menyebabkan ramai daripada mereka berang dengan perancangan pihak pengurusan.

Selain gagal mengekalkan khidmat hampir keseluruhan skuad, keputusan untuk membawa masuk beberapa pemain yang kurang berkualiti juga antara punca.

Meskipun sudah menjaringkan dua gol setakat ini, penyerang kelahiran Brazil, Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande juga tidak boleh dianggap sebagai seorang pemain yang mampu memikul tanggungjawab besar sepanjang musim.

Levy Madinda dan Safuwan Baharudin juga tidak boleh diletak sebagai tonggak pasukan meskipun sudah beraksi dengan agak konsisten setakat lima perlawanan Liga Super.

WhatsApp Image 2023-03-22 at 15.52.17

Vinicius (kiri) masih menunggu untuk mendapatkan penampilan pertamanya dalam Liga Super. Facebook/Negeri Sembilan FC

Namun, di sebalik nama-nama pemain luar itu, pelbagai tanda tanya timbul mengenai situasi seorang lagi import dari Brazil, Vinicius Leonel.

Dia yang dibawa masuk ketika penghujung jendela perpindahan lalu dikatakan sebagai pengganti kepada bekas pemain tengah Negeri Sembilan FC, Omid Nazari atau Yashir Pinto.

Bagaimanapun, setakat ini, namanya masih tidak tersenarai dalam setiap perlawanan dan situasi itu menyebabkan penyokong tertanya-tanya apa strategi yang dirancang ketua jurulatih, K Devan.

Tetapi, teka-teki itu akhirnya terjawab apabila pemain berusia 25 tahun berkenaan membuat penampilan pertamanya musim ini bersama pasukan simpanan skuad Jang dalam aksi Piala MFL.

WhatsApp Image 2023-03-22 at 15.48.08

Tangkap layar memaparkan Vinicius (37) sempat beraksi bersama pasukan simpanan skuad Jang. Instagram/palatao_bola

Dalam aksi berdepan Kelantan FC Bawah 23 (B-23) tahun pada Selasa itu, Vinicius difahamkan dibawa masuk sebagai pemain simpanan menerusi satu perkongsian akaun Instagram Palatao Bola.

"Import Negeri Sembilan, Vinicius Leonel akhirnya muncul. Dia bermain 30 minit di Piala MFL pada petang ini (Selasa)," tulisnya.

Meskipun dia masih kempunan untuk mendapatkan penampilan pertama dalam Liga Super, penampilannya itu sedikit sebanyak memberi peluang menunjukkan kemampuannya di atas padang.

Skuad Jang ketika ini masih bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik selepas hanya mencatatkan satu kemenangan dan dua keputusan seri selepas empat perlawanan.

Mereka masih berpeluang untuk menambah baik posisi dalam carta apabila menerima kunjungan sebuah lagi pasukan bergelut, Kelantan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan pada 1 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram