Tiada lagi ‘ref botak’, ini 5 kontroversi yang pernah Zulkarnain Zakaria buat dalam Liga M


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Zulkarnain Zakaria melayangkan kad merah kepada pemain Perak FC. — Youtube/Astro Arena

BARU sahaja Liga Super 2023 membuka tirai dan memasuki perlawanan kelima, nampaknya sudah ada beberapa kontroversi menghiasi suasana liga domestik sehinggalah menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan.

Mana tidaknya,pada hari pertama perlawanan Liga Super sudah ada dua kad merah yang dilayangkan pengadil perlawanan.

Dua pasukan pertama menjadi mangsa layangan kad merah pengadil ialah Penang FC dan Perak FC sehingga memberi kesan kepada kedua-dua pasukan untuk mengutip tiga mata penuh.

Pengadil paling kontroversi musim 2022, Zulkarnain Zakaria atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ antara watak yang melayangkan kad merah kepada pemain Perak FC.

Tidak terhenti di perlawanan itu, Zulkarnain sekali lagi terpalit kontroversi sehingga digantung serta merta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Keputusan itu susulan kontroversi sepakan penalti yang diberikannya ketika mengadili perlawanan aksi Liga Super di antara Sabah FC dan Penang FC pada Jumaat.

Namun ia bukan pertama kali Zulkarnain mencipta kontroversi sepanjang terlibat dalam Liga Malaysia sebagai pengadil.

Ini merupakan lima kontroversi membabitkan Zulkarnain atau lebih dikenali 'ref botak':

JDT vs Terengganu 2019

Zulkarnain ketika mengendalikan perlawanan JDT dan TFC yang menyaksikan skuad penyu tewas 1-4 kepada pasukan tuan rumah. Facebook/JDT

1. Johor Darul Takzim (JDT) vs Terengganu FC (TFC) - Piala Malaysia 2019

Kualiti pengadilan Zulkarnain dipertikai ketika mengendalikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu. Pengendali Terengganu, Nafuzi Zain selepas perlawanan menyifatkan keputusan pengadil itu menjejaskan motivasi pemain.

Perlawanan JDT dan Selangor berlangsung ketika negara mengalami wabak pandemik Covid-19. Facebook/JDT

2. JDT vs Selangor FC - Liga Super 2020

Mutu pengadilan Zulkarnain dipertikai ketika aksi JDT berdepan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim, Johor terutama membabitkan keputusannya memberikan sepakan penalti kepada Harimau Selatan dalam perlawanan itu.

Zulkarnain melayangkan kad kuning kepada pemain Sri Pahang selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Terengganu FC. Facebook

3. Terengganu FC vs Sri Pahang FC - Liga Super 2022

Sri Pahang tidak berpuas hati dengan cara pengadilan Zulkarnain ketika aksi Liga Super berdepan Terengganu.

Susulan daripada itu, pengurusan Sri Pahang memaklumkan mereka akan mengemukakan aduan kepada FAM berhubung isu tersebut.

4. Selangor vs JDT - Liga Super 2022

Kontroversi tercetus ketika Zulkarnain memberikan sepakan penalti kepada JDT dalam aksi Liga Super berdepan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Selepas itu, tular video di media sosial Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Zulkarnain di tempat letak kereta dengan insiden itu dipercayai membabitkan mutu pengadilan dalam perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun selepas itu FAM menjelaskan keputusan memberikan penalti kepada JDT yang dibuat Zulkarnain adalah tepat.

Perlawanan terakhir yang dikendalikan Zulkarnain selepas dia digantung FAM sepanjang musim 2023. Facebook/Sabah FC

5. Sabah FC vs Penang FC - Liga Super 2023

Zulkarnain dikritik hebat susulan keputusan pengadilannya ketika aksi Liga Super antara Sabah dan Penang, Jumaat lalu yang menyaksikan lima sepakan penalti diberikan pada perlawanan itu.

Susulan daripada itu, FAM mengesahkan Zulkarnain terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit ke-41 dan minit ke-90+9 (masa kecederaan).

Badan induk itu kemudian menjatuhkan hukuman penggantungan serta-merta terhadap Zulkarnain daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram