LADANG Sari International membekalkan 100 peratus teh Rhymba Hills herba asli dari Malaysia dengan menjual minuman sihat dikenali sebagai infusi herba iaitu bebas daripada kafein, gula dan dari sebarang bahan tambahan lain.
Ciinndey, pengasas Ladang Sari International Sdn Bhd.
Pengasas teh Rhymba Hills, Ciinndey Wong berkata, selepas menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari RMIT, Australia, dia bekerja selama beberapa tahun di salah sebuah firma perakaunan dan menyedari pekerjaan tersebut menjejaskan kesihatannya.
Pengasas berumur 47 tahun itu berkata, pekerjaan tersebut menjadi faktor kepada tabiat pemakanan yang tidak sihat iaitu gemar dengan makanan segera, minuman soda dan makan lewat malam tanpa melakukan senaman. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya perakaunan dan meneruskan kerjaya dalam kesihatan diri.
Dia berharap agar rakyat Malaysia akan mengetahui kewujudan minuman alternatif tersebut yang mana lebih sihat untuk diminum pada bila-bila masa berbanding dengan minuman berkafein atau yang tinggi kandungan gula.
Ciinndey memberitahu, terdapat juga cabaran dalam mempertahankan produk tersebut selain perlu bersaing dengan produk lain.
"Semasa pandemik Covid-19, jualan bagi produk itu jatuh tetapi dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga, kawan-kawan dan persatuan yang terlibat, saya tetap bangkit agar produk ini kekal dalam pasaran Malaysia.
Selain itu, dia juga memberi pendapat bahawa jantina bukan perkara utama jika ingin memulakan perniagaan, semua orang mempunyai peluang untuk menceburi bidang tersebut.
"Bagi saya, perbezaan jantina bukan penghalang untuk seseorang memulakan perniagaan tetapi bergantung kepada produk yang dijual sama ada ia dikenali oleh orang ramai atau tidak," katanya kepada Majoriti.
Lebih menarik lagi, produk yang dijual adalah sesuai untuk diminum oleh semua orang tanpa mengira agama, kaum dan bangsa walaupun dia sebagai pengasas berbangsa Cina.
Ciinndey mendapat inspirasi untuk mencipta infusi herba tersebut selepas melalui masalah kesihatannya sendiri seperti berat badan berlebihan,sentiasa letih, muka penuh dengan jerawat dan kurang keyakinan diri sebagai seorang wanita.
Dia mengambil keputusan untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik iaitu membuat produk sendiri daripada bahan tempatan organik seperti serai, kayu manis,halia berasal dari Bentong dan direka untuk menjadi alternatif sihat kepada minuman seperti kopi, teh tarik dan minuman gula yang lain.
Menurut Ciinndey, negara Malaysia kaya dengan tumbuhan herba seperti serai, halia,pandan dan sebagainya dan perlu dimanfaatkan dengan baik.
Perniagaan tersebut mula berkembang pada 2014 yang dikenali sebagai Ladang Sari International Sdn Bhd sekali gus berjaya menembusi pasaran Singapura dan Hong Kong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram