SELANGOR FC terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Takzim (JDT) apabila mereka tewas dengan keputusan 0-4 di Stadium MBPJ, Selangor pada Jumaat.
Skuad Gergasi Merah kini berada di kedudukan keempat selepas hanya mengutip 10 mata daripada lima perlawanan Liga Super yang sudah ditempuhi.
Antara perkara yang menjadi perhatian penyokong pasukan Lembah Klang itu ialah pemilihan pemain import sehingga ada daripada mereka mengatakan rekrut jendela perpindahan mereka cukup mengecewakan.
Salah seorang yang sering diberikan perhatian ialah penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle berikutan beberapa siri aksi kurang tidak cemerlangnya di sudut pandangan penyokong.
Pemain import itu sebelum ini pernah membantu Selangor FC membawa pulang kemenangan dengan menjaringkan dua gol ketika menentang Kuching City dan Penang FC.
Namun, bagi penyokong Gergasi Merah, ia tidak cukup untuk meletakkannya sebagai seorang penyerang berbahaya di hadapan pintu gol lawan.
Caion (tengah) pernah menyarungkan jersi Gergasi Merah musim lepas. — Facebook/Selangor FC
Lebih menarik lagi, ada di antara mereka yang mula membandingkan del Valle dengan bekas pemain import pasukan, Herlison Caion yang turut dikritik dengan hebat musim lalu.
"Setakat ini, tidak nampak lagi sebarang impak dari segi kemahiran individu, bola gol pun semua depan mata, tak berani nak pegang bola dan kawal.
"Maaf cakap satu pembelian yang tidak berbaloi setakat lima perlawanan., mana kutip tak tahu, tak silap saya, dia penjaring terbanyak Liga Colombia masa zaman muda dia iaitu tiga hingga lima tahun lepas," kata Misnadi Bin Hamzah.
"Secara keseluruhan, Ayron saling tidak tumpah seperti Caion, dia meletup semasa jaringkan gol pada awal-awal musim selepas itu, menyepi semasa final Piala Malaysia.
"Cuma Ayron menang sikit dari segi pengawalan bola dan harap dua perlawanan ini boleh skor, nak bandingkan antara dua, kena tunggu sampai hujung musim, baru adil," kata Shahlan AK.
"Caion seorang yang laju, penyudah sulung namun kelemahannya adalah kaki kena makan anai-anai agaknya, selalu jatuh.
"Berbeza dengan Ayron, penyudah sulung ada, rajin turun dan bertahan, namun mungkin kelemahannya adalah faktor umur kerana agak perlahan, susah nak main sebagai penyudah, perlu ada pasangan yang sesuai," kata Muhamadov Ghafarow.
Musim lalu, Caion merupakan penjaring terbanyak buat Selangor FC apabila dia berjaya menjaringkan 14 gol dalam 22 penampilan Liga Super yang membantu skuad Gergasi Merah menamatkan saingan di tangga kelima.
Kini, pemain kelahiran Brazil itu diturunkan sebagai penyerang bersama Kuala Lumpur (KL) City FC dengan dia masih mencari jaringan sulungnya bersama pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram