Nani kongsi kisah misteri berdepan lembaga hitam, tips pendakian Gunung Kinabalu


  • Hobi
  • Selasa, 21 Mac 2023

Nani mengambil gambar bersama kumpulannya sebelum memulakan pendakian ke Kinabalu.

GUNUNG Kinabalu merupakan antara gunung yang paling digemari oleh pendaki seluruh dunia. Dengan ketinggian 4,095 meter dari paras laut, sudah pasti ia memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi mereka yang gemar aktiviti lasak dan pendakian.

Menerusi perkongsian yang dilalui oleh seorang penggemar aktiviti lasak, Rosnaini Ahmad, mendaki gunung Kinabalu meninggalkan kesan positif terhadap dirinya kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi yang memukau.

Namun, seperti yang diketahui, hutan tebal mempunyai kisah misteri yang tersendiri dan ia diakui oleh hampir kesemua yang sering terlibat dalam aktiviti sebegitu.

WhatsApp Image 2023-03-20 at 20.52.01

Nani akui teruja mampu menjejakkan kaki ke puncak Kinabalu.

Rosnaini atau lebih gemar dipanggil Nani berkata, apabila sahaja sampai di kawasan Panalaban, iaitu tempat perhentian para pendaki selepas turun dari puncak Kinabalu, mereka berehat seketika sebelum memulakan perjalanan untuk turun ke kaki gunung yang juga dikenali sebagai Timpohon.

Pada mulanya, dia dikatakan bergerak secara kumpulan, namun disebabkan mengikut kemampuan diri sendiri, Nani dan seorang kawannya mengambil keputusan membiarkan yang lain menuruni lebih awal.

Bagaimanapun, disebabkan rasa kasihan dengan kawan terpaksa menunggu, dia memilih untuk meminta agar rakannya itu turun terlebih dahulu.

Dalam perjalanan dari Panalaban ke Timpohon, Rosnaini berkata, terdapat satu kejadian misteri yang tidak diingini berlaku.

"Dalam jarak dua kilometer, saya nampak sesuatu yang sedang duduk dan perkara itu turut dilihat oleh rakan-rakan saya apabila kami membincangkannya selepas hari pendakian," katanya.

Selepas itu, dia berhenti seketika sambil berzikir, membaca Al-Fatihah dan ayat-ayat kursi sebelum menyambung kembali perjalanannya untuk ke kaki gunung.

"Dalam 800 meter sebelum sampai ke Timpohon, saya sekali lagi ternampak seperti lembaga yang berdiri sangat gelap menatap ke arah saya, tetapi yang pelik ialah ada tiga orang kumpulan saya turut nampak benda itu,".

"Bagi saya, benda itu wujud dan ia bertujuan bukan untuk menganggu melainkan hanya untuk memberi teguran," katanya.

Menurut salah seorang rakannya, Rahmi Jumriati Jono mengatakan bahawa sepanjang perjalanan balik itu terdapat seperti aura lain yang memanggil namun mengabaikan perasaan tersebut kerana mengetahui kawasan tersebut sudah pasti ada benda lain yang menghuni.

Namun begitu, pendaki berusia 27 tahun berkongsi sedikit tipa dan persiapan awal sebelum mendaki gunung Kinabalu pada Mac.

"Ketahanan fizikal orang tidak sama, sudah pasti persediaan hiking perlu namun bagi saya sendiri, berjoging pun boleh dilakukan.

"Persiapan yang saya sendiri lakukan ialah bermula bulan Januari dan pertengahan Februari, saya hanya berjoging sahaja pada waktu pagi atau petang dan pemilihan kasut amat penting dalam pendakian kerana ia amat membantu pergerakan sepanjang perjalanan meredahi batu-batu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram