Jim Ratcliffe laung amaran, tak akan bayar harga mengarut beli Manchester United


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Ratcliffe (kanan) memberikan amaran awal bahawa dia tidak bersedia untuk membayar harga yang diminta secara membuta-tuli ketika membeli Man United. — Agensi

JUTAWAN Britain, Jim Ratcliffe, menegaskan bahawa dia tidak akan membayar harga tidak masuk akal untuk menjadi pemilik Manchester United tatkala tarikh akhir bidaan semakin hampir.

Pemilik ketika ini, keluarga Glazer, meletakkan United di dalam pasaran pada November tahun lalu dan Ratcliffe menjadi pembida pertama yang secara rasmi mendaftarkan pembelian itu melalui syarikat bahan kimianya yang berpangkalan di London, England iaitu INEOS.

Dia kemudiannya menjadi antara pihak yang mengemukakan bidaan awal pada bulan lalu dengan Ratcliffe dan jurubank Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani, dianggap mendahului pembidaan itu.

Sheikh Jassim antara pembida untuk menjadi pemilik Manchester United.

Walaupun nilai sebenar bidaan tidak dinyatakan, Glazers dilaporkan menuntut sekurang-kurangnya RM32.2 bilion dan ia akan menjadi rekod tertinggi dunia baharu bagi sebuah kelab yang dinilai Forbes tahun lalu sebanyak RM21.4 bilion.

Menurut laporan media, pembida makin yakin Glazers akan meluluskan penjualan itu dengan Ratcliffe dan Sheikh Jassim dijangka menyerahkan tawaran rasmi masing-masing minggu ini.

Bagaimanapun, Ratcliffe memberikan amaran awal bahawa dia tidak bersedia untuk membayar harga yang diminta secara membuta-tuli.

United berjaya layak ke pusingan suku akhir Liga Europa (UEL) selepas menewaskan Real Betis pada awal pagi Jumaat.

Bercakap mengenai proses pembidaan itu kepada Wall Street Journal, Ratcliffe berkata: "Bagaimana anda menentukan harga sebuah lukisan? Bagaimana anda memutuskan harga rumah?

"Ia tidak berkaitan dengan kos untuk membina atau berapa kos untuk mengecat.

"Apa yang anda tidak mahu lakukan ialah membayar harga yang tidak masuk akal ke atas sesuatu yang kemudiannya boleh buat anda menyesal." — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram