Tiada lagi 'ref botak', FAM gantung Zulkarnain Zakaria bagi musim 2023


  • Podium
  • Ahad, 19 Mac 2023

Zulkarnain digantung daripada mengadili semua perlawanan Liga Malaysia 2023. — Facebook/Penang FC

ISU membabitkan keputusan kontroversi pengadil, Zulkarnain Zakaria yang dipanggil 'ref botak' dalam kalangan peminat bola sepak tempatan bagi perlawanan Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat telah dijawab oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, FAM telah membuat keputusan dan mengambil tindakan berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil itu yang berlaku pada perlawanan Liga Super 2023, Sabah FC lawan Penang FC.

"Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk' S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah bersidang pada Sabtu bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

"Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit ke-41 dan minit 90+9," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan tindakan menggantung Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan bagi musim 2023.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

"Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

"Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram