PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memanggil pengadil kontroversi Zulkarnain Zakaria, yang dikenakan hukuman penggantungan semusim baru-baru ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung prestasinya, dalam usaha menjaga mutu pegawai perlawanan tempatan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya bersedia untuk menjalankan siasatan menyeluruh, dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk jika terdapat gangguan daripada anasir luar.
"Kita perlu tengok semua aspek sebelum kita ambil tindakan lanjut, tetapi langkah pertama sudah kita ambil dengan dia (Zulkarnain) digantung. Jawatankuasa penilai pengadil FAM tengah melihat dan akan panggil beliau untuk proses seterusnya.
"Kita tak boleh sampai dekat situ (unsur mengatur perlawanan), biar mereka (jawatankuasa) melakukan siasatan penuh dahulu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketujuh Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Selasa.
Pada Ahad lepas, Zulkarnain dikenakan hukuman penggantungan secara serta-merta daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2023, susulan beberapa insiden membabitkan keputusannya pada aksi Liga Super antara Sabah dan Penang di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, Jumaat lepas.
Sementara itu, Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 berkata, FAM sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kualiti pengadil.
Namun, beliau berkata hampir mustahil mendapatkan seseorang pengadil yang sempurna iaitu bebas daripada membuat kesilapan di padang.
"Pengadil ada kelemahan, mungkin dalam 90 minit, minit ke-87 dia buat keputusan tak tepat dan ini terjadi bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Jawatankuasa dan FAM sentiasa pantau tetapi untuk dapatkan 100 peratus pengadil sempurna di Piala Dunia pun tiada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, FAM akan menghantar beberapa pengadil antaranya Muhammad Nazmi Nasaruddin ke Thailand, bagi mendapatkan lesen Video Bantuan Pengadil (VAR) sebagai usaha awal dalam misi melihat pengadil tempatan bertugas di Piala Dunia 2026. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram