Tindakan gantung pengadil pastikan kredibiliti perlawanan terjamin — MFL


  • Podium
  • Isnin, 20 Mac 2023

Stuart berkata, kerjasama daripada FAM untuk menambah baik pengadil amat dialu-alukan. — Bernama

TINDAKAN penggantungan serta-merta ke atas pengadil yang mengadili aksi Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC pada Jumaat lepas, disifatkan satu langkah proaktif diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, langkah tersebut bertepatan dengan usahanya bersama FAM bagi memastikan pengadil dilantik di bawah badan induk sukan itu sentiasa mempamerkan kredibiliti dan kesempurnaan seperti dikehendaki komuniti bola sepak negara.

"Kadang-kadang kesian juga bila berlakunya pemain yang terlepas sepakan penalti dia dapat peluang kedua dalam perlawanan seterusnya tetapi pengadil tidak boleh berlaku mana-mana kesilapan.

"Pengumuman mengenai tindakan FAM memberi penggantungan (serta-merta) kepada seorang pengadil adalah langkah proaktif dikeluarkan sebelum apa-apa laporan atau aduan daripada pasukan.

"Saya rasa itu satu tindakan amat baik untuk pastikan komuniti bola sepak tempatan lihat sendiri tindakan diambil FAM," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani minyak masak tempatan keluaran Sime Darby Oils (SDO), ALIF selaku penaja Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

1985466

Zulkarnain digantung daripada mengadili semua perlawanan Liga Malaysia 2023. — Facebook/Penang FC

Stuart mengulas mengenai pengadil Zulkarnain Zakaria ketika mengadili aksi Sabah FC yang mencatatkan kemenangan 5-2 ke atas Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat lepas.

Nama Zulkarnain menjadi tumpuan selepas didapati terkhilaf dalam menginterpretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada Sabah, pada minit ke-41 dan masa tambahan (90+9).

Sementara itu, mengenai tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu kelab bola sepak menukar rumput di stadium masing-masing, Stuart berharap supaya ia disambut baik pihak-pihak berkaitan selain mengambil kira kepentingan keselamatan pemain dan kualiti permainan lebih baik boleh dipamerkan dalam mengharungi perlawanan Liga M.

"Kami harap Liga M boleh melihat pengubahsuaian rumput di peringkat tempatan bukan sahaja sebab 'zeon zoysia' adalah lebih baik daripada rumput lembu tapi lapisan tanah bawah dan sistem perparitan yang mungkin sudah capai satu tempoh yang lama di sesebuah stadium perlu dilakukan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram