FAM tunggu laporan isu mutu pengadilan game Sabah-Penang


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Noor Azman masih menunggu laporan rasmi daripada Jawatankuasa Penilaian Pengadil. — Facebook/FAM

BEBERAPA keputusan yang dianggap berat sebelah ketika pertemuan Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC pada Jumaat mendapat respons cukup hangat daripada penyokong kedua-dua pasukan.

Berdasarkan pemerhatian di media sosial, rata-rata peminat bola sepak tanah air mahu tindakan tegas diambil terhadap pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria.

Mengulas lanjut isu itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya masih menunggu laporan akan hal berkenaan.

"Kami masih menunggu laporan rasmi daripada Jawatankuasa Penilaian Pengadil, saya akan maklumkan pada Sabtu petang," katanya kepada Majoriti.

Dalam perlawanan itu, skuad Sang Badak membawa pulang tiga mata selepas mudah menundukkan pasukan pelawat dengan keputusan 5-2 di Stadium Likas, Sabah.

Bagaimanapun, perkara yang menjadi tumpuan adalah keputusan Zulkarnain untuk menghadiahkan tiga penalti dengan dua daripadanya buat tuan rumah.

Isu pengadilan sebelum ini turut menerima perhatian, termasuk apabila ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dibuang padang ketika berdepan Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram