Dah mula duduk 'bench', penyokong risau Badak senasib Akhyar, Safawi


  • Podium
  • Khamis, 02 Mac 2023

Penyokong berharap Shahrul dapat diturunkan secara lebih kerap di pentas saingan domestik. — Facebook

AKSI kedua Liga Super membabitkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menyaksikan kelab Harimau Selatan terus mendominasi carta selepas meraih tiga mata berharga hasil kemenangan 3-0.

Ketua jurulatih JDT, Estaban Solari mengekalkan skuad aksi Piala Sumbangsih ketika menentang Terengganu FC tempoh hari dalam perlawanan menentang The City Boys ketika kelab elit itu berkunjung ke Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Berdasarkan kesebelasan utama menentang KL City FC, hanya nama Afiq Fazail yang digugurkan dan digantikan dengan tonggak naturalisasi baharu, Endrick dos Santos.

Manakala barisan pemain simpanan pula ialah Corbin Ong, Leandro Velazquez, Farizal Marlias, Ramadhan Saifullah, Syafiq Ahmad, Syahmi Safari dan Shahrul Saad.

Sebelum ini, penyokong menyuarakan rasa resah kerana melihat nasib Corbin yang lazimnya tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan, hanya memanaskan bangku simpanan pada dua aksi pertama JDT.

333195783_748116930363000_3278237792604114456_n

Shahrul menjalani latihan kecergasan di JDT. — Facebook

Kali ini, keresahan sama turut disuarakan penyokong JDT selepas pemain pertahanan, Shahrul Saad yang menjadi favourite musim lalu, memulakan kempen Liga Super dari bangku simpanan.

Meskipun masih awal untuk membuat andaian, ada penyokong yang berasakan Solari sudah memberi bayangan kesebelasan utama pada perlawanan akan datang berdasarkan pilihan tersebut.

Solari disamakan seperti bekas pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora yang lebih suka menggunakan pemain sama dalam kebanyakan perlawanan.

Strategi itu berbeza daripada Hector Bidoglio yang nampak suka membuat rotation pemain ketika mengemudi JDT musim lalu sebelum peranan berkenaan diambil alih Solari musim ini.

Hal tersebut menyebabkan penyokong bimbang perkara itu berterusan hingga hujung musim yang akan menyaksikan Shahrul kekurangan minit permainan dan merosot dari segi prestasi permainan.

68701920_2922430617829424_6543044485436145664_o

Aksi Shahrul ketika berkhidmat dengan skuad Perak FC. — Facebook

Lebih merisaukan mereka ialah apa yang terjadi kepada Safawi Rasid sebelum ini, boleh berlaku kepada Shahrul apabila pemain sayap tersebut semakin malap selepas tempatnya diambil alih oleh Arif Aiman Hanapi yang terus menyinar di posisi berkenaan.

Begitu juga dengan beberapa pemain tempatan lain termasuklah Akhyar Rashid, Nazmi Faiz dan Adam Nor Azlin yang kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT.

Justeru, penyokong berharap Shahrul dapat diturunkan secara lebih kerap di pentas saingan domestik manakala khidmat Jordi Amat pula digunakan untuk saingan di kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023.

Jika tidak pun, JDT boleh meminjamkan Shahrul ke pasukan lain termasuk bekas majikannya, Perak FC untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram