PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai nama 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang menggunakan fasiliti Johor Darul Takzim (JDT) di, Johor Bahru, Johor.
Berdasarkan senarai tersebut, Pan-gon mengekalkan sembilan daripada 23 pemain yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.
Skuad kebangsaan turut disertai dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu.
Ketika ini, ramai penyokong menantikan siapakah pemain yang bakal membentuk gandingan kapten skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Dengan nama kapten sebelum ini, Safawi Rasid sekadar diletakkan dalam Senarai Bersedia, tentunya ada muka baharu yang dikenal pasti untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Berikut tiga tonggak Harimau Malaya yang dirasakan berpotensi dilantik sebagai kapten pasukan.
Endrick pernah menjadi kapten pasukan Penang FC. — Facebook
1. Endrick dos Santos
Tonggak naturalisasi Johor Darul Takzim ini dirasakan layak mengenakan lilitan kapten Harimau Malaya berdasarkan kredibilitinya menggalas tanggungjawab ketua pasukan ketika beraksi dengan Penang FC musim lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu juga dirasakan bakal menjadi 'senjata' baharu Pan-gon kerana ketajamannya di hadapan gawang dengan jumlah tiga jaringan dalam persembahannya di Liga Super setakat ini.
Mungkin kali ini akan menyaksikan Endrick mengatasi pemain naturalisasi lain termasuk Lee Tuck dan Sergio Aguero untuk melayakkan dirinya menyarungkan lilitan kapten sekali gus menterjemahkan kepimpinan dalam perlawanan sekiranya diberi peluang oleh Pan-gon.
Kepimpinan Syihan untuk menjadi kapten Harimau Malaya boleh dicungkil. — Facebook
2. Syihan Hazmi
Nama penjaga gol yang tangkas dan cekap ini dirasakan berpotensi mengikut jejak langkah bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias yang pernah menyarungkan lilitan kapten Harimau Malaya suatu ketika dahulu.
Walaupun masih muda, Syihan yang berkhidmat dengan JDT memiliki karisma dan ketenangan yang membuatkannya sesuai untuk mengemudi pasukan kebangsaan kendalian Pan-gon.
Tambahan lagi, pemain berusia 27 tahun itu menimba pengalaman berharga beraksi bersama Harimau Malaya termasuk ketika membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2023 dan separuh akhir Piala AFF 2022.
Kematangan Darren menjadikannya sesuai menggalas tanggungjawab sebagai kapten.
3. Darren Lok
Nama penyerang Sabah FC ini sudah sinonim dengan peminat bola sepak tempatan kerana dia sering mendapat panggilan kebangsaan sejak kempen kelayakan Piala Asia 2023 hinggalah Piala AFF 2022.
Darren memiliki kematangan dalam permainannya dan mampu memberi arahan kepada rakan sepasukan, bijak mengawal emosi permainan selain berupaya membantu pasukan menjaringkan gol.
Dengan pengalaman sedia ada, pemain berusia 32 tahun itu akan diterima baik ahli pasukan untuk menggalas tugas sebagai kapten Harimau Malaya dengan cemerlang nanti.
Selain tiga nama itu, tidak mustahil juga, Pan-gon terus mengekalkan Dion Cools, Faisal Halim dan Brendan Gan sebagai kapten Harimau Malaya memandangkan mereka sudah mendapat kepercayaan daripada perlawanan terdahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram