SETAKAT lima perlawanan awal Liga Super 2023, Sabah FC merupakan satu-satunya pasukan dilihat konsisten dalam memberikan saingan kepada gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).
Dengan keputusan empat kemenangan dan satu seri yang direkodkan, Sang Badak kini berada di kedudukan kedua dengan mengutip 13 mata, hanya dua mata dipisahkan di belakang pendahulu liga iaitu skuad Harimau Selatan.
Lebih menarik, perlawanan seterusnya bakal menyaksikan kedua-dua pasukan itu bakal berentap pada perlawanan keenam liga yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor pada 31 Mac ini.
Kemenangan di gelanggang lawan itu sekiranya membolehkan Sabah FC kembali menjadi pendahulu selepas kedudukan tersebut diambil alih oleh JDT seawal minggu ketiga liga.
Kim Swee ketika sesi latihan pasukan Sabah FC pada Isnin. — Facebook/SabahFootballClub
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa skuad Harimau Selatan kini sedang berada di momentum terbaik apabila memperolehi menang dengan defisit jaringan besar melebihi sekurang-kurangnya empat gol dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini.
Disebabkan itu, The Rhinos di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pastinya perlu tampil dengan prestasi dan kesebelasan terbaik bagi menghadapi perlawanan tersebut.
Pada masa sama, penyokong skuad Sang Badak turut membangkitkan mengenai status pemain tonggak tengah import pasukan, Telmo Castanheira yang sudah disisihkan sejak minggu keempat liga.
Menurut mereka, kehadiran pemain kelahiran Portugal berusia 30 tahun itu sangat penting dalam memastikan keberkesanan bahagian tengah untuk merencan serangan buat pasukan.
Kelibat Telmo masih tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan Sabah FC pada Isnin. — Facebook/SabahFootballClub
Setakat tiga penampilannya dalam liga pada musim ini, Telmo sudah menjaringkan dua gol buat skuad Sabah FC.
Namun, kelibat pemain kelahiran Portugal itu masih tidak dilihat pada sesi latihan yang diadakan pada Isnin dengan pengurusan kelab masih tidak memberikan kenyataan rasmi berhubung status kecederaannya.
"Telmo masih tidak kelihatan. Minta pengurusan berikan kemaskini statusnya," kata Samly Gontol.
"Harap-harap sempat main lawan JDT. Permainan Sabah FC tidak berapa cantik kalau dia tidak main," cerita Lee Bane.
"Belum nampak kelibat Telmo. Macam mana mahu solid tengah Sabah jumpa JDT nanti," ujar Bierom Harraz Omar.
"Telmo senjata rahsia Sabah lawan JDT," tulis Roney Lagimen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram