Ada sebab Pestabola Merdeka berlangsung singkat — FAM


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Hamidin berkata, perubahan yang berlaku dalam bola sepak dunia menyukarkan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan pada Ogos. — Bernama

SELEPAS 10 tahun menyepi, kejohanan Pestabola Merdeka bakal kembali dianjurkan pada Oktober ini dengan India, Palestin dan Lubnan, sebagai pencabar pasukan negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan perkara itu berkata, tahun ini merupakan masa yang tepat untuk menganjurkan semula kejohanan yang kali terakhir dianjurkan pada 2013, selepas perancangan awal untuk diadakan pada 2020 tidak kesampaian, susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sebagai permulaan, penganjuran edisi tahun ini dijalankan dengan skala yang kecil dan akan menggunakan format kejohanan Piala Raja Thailand.

"Kita akan lakukan proses undian (untuk tentukan perlawanan pertama) dan pasukan yang menang akan ke final, maknanya setiap pasukan akan bermain dua perlawanan mengikut standard FIFA, untuk memperoleh mata ranking.

"Kita lihat peminat memang nak Pestabola Merdeka macam dulu (bermain) 10 hingga 15 hari, tetapi kalendar FIFA begitu ketat dan banyak kejohanan besar ketika itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketujuh Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor, pada Selasa.

Ketika ditanya adakah penganjuran Pestabola Merdeka di luar bulan kemerdekaan akan menjejaskan prestij kejohanan, Hamidin berkata, perubahan yang berlaku dalam bola sepak dunia menyukarkan untuk ia kembali dianjurkan pada Ogos, seperti edisi terdahulu.

"Kita tak boleh dilamun macam tahun-tahun lepas kerana banyak perkara dan peraturan bertukar. Macam Sukan SEA dahulu, pasukan senior bermain sekarang Bawah 23 Tahun, jadi kita kena selaras dengan apa yang ada sekarang, tak boleh macam 20 atau 30 tahun dulu.

"Sudah tentu semua perlawanan pasukan kebangsaan mesti kena dalam kalendar FIFA dan paling dekat ialah pada Oktober, kerana Ogos bukan berada dalam kalendar FIFA,” katanya.

Pestabola Merdeka hampir pasti dianjurkan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, dekat sini sekali gus menjadi platform untuk menguji penggunaan rumput baharu jenis 'Zeon Zoysia' di gelanggang keramat Harimau Malaya itu.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara terbanyak Pestabola Merdeka dengan 12 kejuaraan, termasuk gelaran yang diraih pada edisi terakhir sejak ia bermula pada 1957. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram