Fans Liberia tarik nafas lega ketiadaan 'striker' Sri Pahang dalam kelayakan AFCON 2023


  • Podium
  • Isnin, 20 Mac 2023

Kpah kini menjadi antara penyerang utama Sri Pahang pada musim ini. — Facebook/SriPahang

SAINGAN Liga Super yang berehat sebentar bagi memberi laluan kepada kejohanan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan beberapa pemain mendapat panggilan daripada skuad negara masing-masing.

Seperti di kem latihan pasukan kebangsaan, seramai seramai 27 orang pemain dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac ini.

Selain daripada pemain tanah air, penyokong juga tidak sabar untuk melihat beberapa tonggak import mewakili negara mereka di kejohanan antarabangsa.

Namun begitu, tidak dinafikan ada pemain import Liga Super yang tidak mendapat panggilan mewakili negara mereka meskipun sebelum ini mereka adalah antara wajah penting pasukan.

Senario itu berlaku kepada Kpah Sherman apabila namanya tidak tersenarai dalam senarai pemain yang akan mewakili Liberia ke pusingan kelayakan bagi kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2023 (AFCON).

WhatsApp Image 2023-03-20 at 14.11.30

Kpah bersama rakan sepasukannya di Liberia. — Instagram/SriPahang

Ketiadaan nama penyerang Sri Pahang FC itu bagaimanapun merupakan berita gembira buat penyokong Liberia yang tidak gemar dengan persembahan Kpah bersama skuad negaranya.

“Sekurang-kurangnya Kpah tidak berada dalam senarai itu. Main 99 perlawanan pun tak pasti boleh skor,” luah penyokong Liberia, Mir Ton yang menarik nafas lega dengan ketiadaan Kpah dalam skuad Liberia.

Sewaktu bersama Kedah pada musim 2021, Kpah pernah mendapat panggilan bagi beraksi bersama skuad kebangsaan Liberia bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan.

Selain itu, pemain berusia 31 tahun itu juga pernah menyarung jersi Liberia pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 Zon Afrika iaitu ketika dia bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Untuk rekod, Kpah kini mempunyai 17 penampilan antarabangsa bersama negaranya dengan merekodkan tiga jaringan gol.

Dalam pada itu, pemain pertahanan import PDRM FC, Marcus Macauley pula tersenarai untuk mewakili Liberia ke pusingan kelayakan bagi AFCON 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram