SELEPAS satu musim yang mengecewakan, Sri Pahang FC berjaya kembali ke landasan dengan menduduki tangga kelima Liga Super tanpa sebarang kekalahan dicatatkan.
Lebih membanggakan lagi, mereka sudah berdepan cabaran getir di tangan Selangor FC dan Sabah FC dengan kedua-dua perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri.
Gaya permainan mereka juga dikatakan tidaklah terlalu mengecewakan dengan taktikal ketua jurulatih, Fandi Ahmad terus diberikan pujian.
Kini, dengan Liga Super direhatkan bagi memberi ruang buat aksi persahabatan di peringkat antarabangsa, pihak kejurulatihan Tok Gajah pastinya memilih untuk melakukan perancangan lanjut buat pasukan.
Salah satu perkara yang sudah dibincangkan sejak awal musim pastinya mengenai pemain terbaik untuk memakai lilitan kapten, lebih-lebih lagi dalam kancah Liga Super.
Khidmat Muslim (kiri) kurang ditagih Sri Pahang musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Musim lalu, tugasan berkenaan diberikan kepada pertahanan senior mereka, Muslim Ahmad dengan ia juga diberikan kepada pemain tengah, Nor Azam Azih.
Bagaimanapun, tanggungjawab itu berpotensi digalas pemain naturalisasi kebangsaan, Sergio Aguero apabila khidmat Muslim tidak lagi ditagih Fandi.
Keputusan itu dilihat cukup disokong rata-rata pengikut setia Sri Pahang berdasarkan beberapa pendapat yang membanjiri ruangan media sosial.
Pandangan berkenaan dikongsikan sebahagian besar penyokong pasukan dalam ruangan komen Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengadakan satu sesi temu bual bersama pemain kelahiran Argentina itu.
Senyuman kembali terpancar dari kem Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
"Mungkin dia hanya perlu mengawal emosi untuk mengelakkannya dilayangkan kad kuning dengan sia-sia kerana dia ialah calon kapten Sri Pahang FC," kata Mohd Nizam.
"Aguero ini merupakan antara pemain naturalisasi yang hampir tidak dibenci mana-mana penyokong. Dari Pahang dia naik, buka gelanggang futsal untuk penduduk Kuantan, terbaik Aguero," kata Mulut Jaga Sikit.
"Insya-ALLAh, dia ni akan kekal lama bersama Sri Pahang nanti. Mungkin akan jadi seorang legenda bersama pasukannya nanti," kata Biru Mata HitamKu.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai skuad Tok Gajah pada 2021 selepas pernah mewakili beberapa pasukan Liga Malaysia, termasuk Melaka United dan Penang FC.
Kebolehannya dalam arena bola sepak tempatan terus menaikkan namanya apabila dia diberikan peluang oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk bersama-sama negara dalam aksi Piala AFF 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram