PEMBABITAN Kelantan FC sebagai pendatang baharu Liga Super musim ini dilihat agak membimbangkan selepas hampir berada di tangga tercorot.
Ketika ini, The Red Warriors (TRW) berada di tangga ke-10, hasil kutipan empat mata dengan satu kemenangan dan satu seri daripada lima perlawanan.
Di sebalik persembahan yang dilihat kurang memberangsangkan pada awal musim ini, terdapat pemain yang menjadi tumpuan apabila disifatkan sebagai tonggak utama buat TRW.
Pemerhati sukan, Zuraimi Zukri menganggap Faiz Mazlan sebagai pemain terpenting bagi memperkukuhkan kualiti skuad itu atas beberapa faktor.
Aksi Faiz ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC baru-baru ini. — TRW Kelantan FC
Pada masa sama, Zuraimi menganggap pemain berasal dari Selangor itu mempunyai ciri-ciri penting untuk menjadikannya salah seorang jeneral tengah Liga Super.
Ini kerana, katanya, pemain berusia 26 tahun itu mempunyai banyak pengalaman ketika berkhidmat bersama Felda United FC, Petaling Jaya (PJ) FC, dan Penang FC.
Katanya lagi, karier pemain tengah itu mulai meningkat ketika berkhidmat bersama Felda United pada penghujung musim 2019.
Ketika itu, Faiz digandingkan dengan seorang holding midfielder muda iaitu Zahril Azri.
"Karier terbaiknya berada di PJ City, sebuah pasukan yang menyerap serangan sebelum melakukan counter attack.
"Faiz menjadi komponen penting bersama Gurusamy dan Solomon Raj untuk menjadi enjin penyerap serangan.
"Dia hanya terlepas empat perlawanan sepanjang musim 2021. Kemudian Faiz berhijrah ke Penang dan dipinjamkan ke Kelantan," tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sesi latihan Faiz bersama pemain TRW. — TRW Kelantan FC
Tambahnya, Kelantan tidak boleh kehilangan Faiz sebelum menemui pengganti kerana menganggap dia merupakan satu-satunya pemain No 6 dimiliki pasukan tersebut.
Ketika ini, katanya, TRW kekurangan pemain No 6 namun, mempunyai ramai pemain di bahagian sayap atau penyerang.
"Ia ulangan musim 2022.
"Jika mahu melihat di mana silapnya, Kelantan mengulangi masalah sama walaupun mereka menemui penyelesaiannya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram