Fans Kelantan mahu pikat semula bintang akademi yang kini diperam kelab Pantai Timur


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Penyokong TRW pastinya mahu mengharapkan pihak pengurusan membawa masuk beberapa wajah baharu selepas ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

EMPAT mata yang dikumpul Kelantan FC selepas lima perlawanan pastinya merunsingkan pihak pengurusan, apatah lagi dengan rekod pertahanan mereka yang cukup bermasalah.

Kemenangan ke atas Penang FC pada 5 Mac lalu merupakan satu-satunya momen positif boleh dicatatkan skuad The Red Warriors (TRW) untuk lima aksi awal Liga Super.

Selain itu, penyokong juga dapat menarik nafas lega apabila pasukan itu mengikat naib johan Piala AFC 2022, Kuala Lumpur (KL) City FC dalam satu perlawanan yang berlangsung pada Jumaat.

Meskipun sudah ketinggalan dua gol seawal minit ke-40, semangat juang yang dipamerkan anak-anak buah Choi Moon-sik memberi satu mata berharga daripada aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan itu.

Kini, dengan Liga Super dihentikan bagi memberi laluan kepada jadual antarabangsa dan Ramadan, pihak kejurulatihan pastinya mahu mencari solusi terbaik demi kelangsungan pasukan.

Tetapi, situasi lain pula dihadapi rata-rata penyokong TRW yang sudah melakukan perancangan awal dengan memberi cadangan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super.

Perkara berkenaan dikongsikan sebahagian besar pengikut setia pasukan, termasuk Shinichi Zenzzi yang berkongsi pandangannya di laman media sosial.

38910084_949646281887685_3972140318328881152_n

Hakimi merupakan antara prospek terhangat daripada akademi Kelantan FC.

"Mungkin antara pilihan untuk dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua adalah dengan membawa masuk Hakimi Abdullah dari Terengganu FC secara pinjaman.

"Dulu, dia merupakan antara bakat muda yang meningkat naik kerana mempunyai larian dengan kawalan yang cukup baik. Dengan Terengganu pun dia hanya diletakkan di bangku simpanan ketika ini," katanya.

Hakimi sebelum ini pernah beraksi bersama skuad Bawah 21 (B-21) Kelantan FC dan kemudiannya dibawa ke dalam pasukan utama pada 2019.

Setelah menunjukkan sinar awal dalam kancah Liga Perdana, anak jati Rantau Panjang, Kelantan itu memilih untuk berkelana dengan dia menyertai skuad Sang Penyu pada 2021.

Dia sebelum ini pernah menghiasi dada akhbar tempatan apabila menjaringkan gol kemenangan Terengganu FC ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 2021.

WhatsApp Image 2023-03-18 at 17.30.44

Hakimi (kiri) pernah dilabel sebaris Arif Aiman. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, isu kecergasan dan konsistensi menyaksikannya lebih kerap memanaskan bangku simpanan yang mana cukup menarik perhatian penyokong TRW.

"Dulu bukan main lagi Terengganu FC suka mengatakan bahawa dia hasil dari pasukan itu. Kena ingat bahawa Kelantan FC yang menaikkannya sebelum ini," kata Zulhafiz Zarith.

"Kalau nak ambil secara pinjaman tu boleh, kita cuba tengok sampai mana dia boleh main. Mana tahu boleh kembali bersinar," kata Wan Amirul Arif.

"Setuju, dia merupakan antara bakat yang jurulatih dahulu, Fajr Ibrahim pernah naikkan," kata Syahmi Bob.

Musim ini, nasib pemain sayap berusia 23 tahun itu masih tidak terjawab dengan ketua jurulatih, Tomislav Steibruckner hanya meletakkannya di bangku simpanan dalam kesemua lima aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram