'Kepada Encik CEO, sila bertanggungjawab', Ultras Terengganu beri kata dua kepada pengurusan TFC


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Ultras Terengganu. — Instagram/Ultrastranung11

'UBAH, atau kami akan ubahkan'.

Itulah amaran yang diberikan oleh Ultras Terengganu kepada pihak pengurusan selepas tidak berpuas hati dengan prestasi anak buah Tomislav Steinbruckner yang tewas di tangan Negeri Sembilan FC pada Khamis.

Pada perlawanan itu, Terengganu FC (TFC) seakan belum berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan rentak kemenangan selepas tunduk 2-1 kepada Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan.

Kekalahan tersebut menyaksikan pasukan tuan rumah turut berjaya memintas Terengganu ke tangga ketujuh liga.

Ultras Terengganu menerusi Instagram memuat naik kenyataan mempersoalkan kredibiliti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang bertanggungjawab melantik Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih musim ini.

"Sebelum salahkan coach 100 peratus, kita check dulu siapa yang buat keputusan untuk tak sambung kontrak coach tahun lepas dan diganti dengan Tomi?

"Dengan prestasi pasukan sekarang, sepatutnya CEO yang kena bertanggungjawab, sebab dia yang buat keputusan untuk tukar posisi Tomi dari Technical Director (TD) kepada Head Coach.

"Apa yang dia nampak hasil kerja Tomi sampai buatkan dia teruja nak letak Tomi jadi head coach dan salin hampir 100 peratus muka baru?" soalnya di Instagram.

Tomislav dilantik menggantikan Nafuzi Zain yang berhijrah ke Kedah Darul Aman FC musim ini. — Facebook/TFC

Selain itu Ultras Terengganu turut mempersoalkan siapakah pengarah teknikal pasukan Terengganu sekarang selepas Tomislav dilantik sebagai ketua jurulatih TFC.

"Bila cakap pasal TD, ringan mulut nak tanya, siapa TD baru tahun ini? Tolong jangan ambil remeh tentang hal ini.

"Tak guna menang 800 kali kalau tiada perancangan masa depan, TD yang menentukan ke mana hala tuju pembangunan taktikal, DNA dan falsafah TFC.

"Kalau lantik TD setakat nak lepas syarat MFL, lebih baik letak Tokki jadi TD," ujarnya.

Adisak Kraison berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama TFC. — Facebook/TFC

Tambahnya lagi, Ultras Terengganu mahu CEO TFC segera bertanggungjawab atas perancangan yang dilakukannya awal musim ini.

"Jadi kepada Encik CEO, sila bertanggungjawab, sebab ini hasil air tangan anda yang buat keputusan untuk ambil langkah kebelakang semula.

"Jawab semua persoalan penyokong tentang prestasi semasa TFC, jangan pula pergi buat keputusan rehatkan Tomi, sebab tak ada liga yang rehatkan coach melainkan di Malaysia.

"Kekalkan coach, atau pecat terus dan bertanggungjawab atas setiap tindakan anda," katanya.

Selepas lima perlawanan, naib juara Liga Super musim lalu itu kini menghuni di tangga kelapan dengan hanya mengutip empat mata selepas lima perlawanan.

Majoriti sedang menghubungi pihak pengurusan Terengganu FC untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram