Kemenangan ini ialah tonik terbaik buat kita — Nafuzi


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Nafuzi juga akan menggunakan tempoh berehat itu untuk memulihkan beberapa pemain yang cedera. — Facebook/KDA FC

KEMENANGAN yang dicatatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat disifatkan sebagai tonik terbaik buat pemain sebelum berehat hampir dua minggu sempena Ramadan.

Ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain berkata, kemenangan itu yang meletakkan pasukannya di tangga ketiga liga dengan 12 mata juga mampu meningkatkan kembali moral pasukan yang sebelum ini mengalami kekalahan berdepan PDRM FC selain disingkirkan daripada saingan Piala FA di tangan Penang FC.

"Alhamdulillah, tiga mata penting sebelum kita berehat dua minggu sempena Ramadan, kemenangan malam ini ialah tonik terbaik untuk kita dan dua minggu berehat dapatlah pulih balik bagi mana-mana pemain cedera.

"Saya rasa daripada lima perlawanan kita kutip 12 mata, ia satu pencapaian terbaik pada awal musim dengan pemain baru dibentuk, saya rasa bersyukurlah,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Dalam perlawanan yang dihadiri lebih 7,000 penyokong itu, pasukan tuan rumah meraih tiga mata selepas menewaskan Kuching City 3-0 menerusi dua gol daripada Akmal Zahir dan satu daripada Manuel Hidalgo.

335193727_516022010503269_7058871592126483331_n

Hidalgo (kanan) menjaringkan satu gol ketika KDA FC membenam Kuching City FC 3-0. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, Nafuzi juga mengingatkan anak-anak buahnya agar terus bekerja keras dan mengekalkan momentum serta prestasi terbaik untuk mengharungi saingan yang dijangka makin mencabar selepas ini.

Katanya, misi juga adalah untuk memperkemas benteng pertahanan dan beberapa posisi pemain agar tidak terus membuat kesilapan yang akhirnya gagal mendapat mata penuh perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abd Salim bercadang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan untuk penambahbaikan pasukan yang kini mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

"Ini kekalahan empat kali berturut-turut rekod sejarah saya menjadi jurulatih, empat perlawanan berturut-turut ini tak ada (sepanjang jadi jurulatih) rasanya, kami pasukan baharu itu satu yang saya boleh beritahu,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram