'Beretuh sikit kira nak bertomoi', menjadi-jadi insiden kad merah, fans cadang potong gaji pemain samseng


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Aksi KDA FC ketika melayani kunjungan Kuching City FC dalam aksi saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berhasil mengutip tiga mata penuh apabila meraih keputusan 3-0 dalam aksi menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Biarpun skuad Sang Kenari mencipta kemenangan di halaman sendiri sekali gus berjaya menebus kekecewaan sewaktu tewas 0-1 kepada PDRM FC, ada satu perkara yang cukup menjengkelkan sebahagian besar penyokong Hijau Kuning.

Ini apabila ada pemain pasukan itu dilihat masih belum mampu mengawal emosi atas padang ketika berdepan dengan provokasi pihak lawan.

Perkara itu memberi kesan negatif kepada pasukan apabila hukuman kad merah akan diberikan oleh pengadil sekali gus mengakibatkan pemain diperintah keluar dari padang.

335925043_1576093696193779_2237896262589078573_n

Aksi KDA FC ketika melayani kunjungan Kuching City FC dalam aksi saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook

Pasukan pula akan dipaksa bermain dengan kekuatan 10 orang dan hal ini tentunya akan menjejaskan corak dan tempo permainan.

Itulah yang berlaku kepada KDA FC apabila Wan Amirul Afiq menerima kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki tiga minit yang menyaksikan pemain pertahanan kanan itu diperintah keluar padang tatkala pasukan sudah berada dalam kedudukan selesa.

Laman Facebook Penyokong Setia Hijau Kuning berpendapat pihak pengurusan seharusnya boleh memberi hukuman berbentuk potongan gaji kepada pemain berlagak samseng dalam padang.

"Dah tiba masa potong gaji pemain yang dok buat samseng dalam padang. Hang (Anda) ingat hang siapa?

"Beretuh (Terlanggar) sikit kira nak bertomoi (bertumbuk) saja.

"Tak bertemu buku dengan ruas hang dok buat kelaku (perangai tidak elok) lagu (macam ) tu. Memalukan saja.

"Main bola sampai tak mau kena langgar, baik hang pi main dam aji," katanya di Facebook.

WhatsApp Image 2023-03-17 at 23.48.59

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Wan Amirul Afiq dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang Kuching City, Abu Kamara.

Layangan kad merah itu merupakan yang ketiga diperoleh pasukan KDA FC selepas insiden membabitkan kapten pasukan, Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain semasa aksi menentang PDRM FC, tempoh hari.

Meskipun insiden itu mendapat kritikan sebahagian penyokong, masih ada yang tetap memberi kredit kepada pemain-pemain lain antaranya Bojan Ciger yang cukup tenang dan meleraikan pergaduhan yang timbul.

Dia turut dipuji kerana mempamerkan kematangan serta kepimpinan tinggi dalam padang.

Kedah kini berada di kedudukan ketiga di belakang Johor Darul Takzim dan Sabah FC dengan kutipan 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram