Menang 3-0 tapi Sang Kenari masih terkena badi, gagal kawal emosi


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Aksi KDA FC ketika melayani kunjungan Kuching City FC dalam aksi saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya menebus kekecewaan tewas di halaman sendiri selepas memperoleh kemenangan 3-0 ke atas Kuching City FC dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Skuad Sang Kenari memperoleh jaringan sulung pada minit ke-28 menerusi hantaran Akmal Zahir yang menewaskan penjaga gawang Kuching City FC, Julian Schwarzer.

Akmal Zahir sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring selepas meledak gol melalui tandukan dari sepakan sudut pada minit ke-48.

Anak-anak buah Nafuzi Zain terus bernafsu mencari gol apabila sekali lagi mendapat jaringan hasil Manuel Hidalgo pada minit ke-54.

Di sebalik kemenangan yang diraih pasukan Hijau Kuning, ada beberapa perkara yang menjadi bualan penyokong termasuk kegagalan segelintir pemain KDA FC mengawal emosi atas padang.

336666463_694341149109275_4370154658483855696_n

Hidalgo memperoleh satu jaringan ketika aksi menentang Kuching City FC. — Facebook

Ini selepas Amirul Afiq menerima kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki tiga minit yang menyaksikan KDA FC terpaksa bermain 10 orang apabila pemain itu diperintah keluar padang tatkala pasukan berada dalam kedudukan selesa.

Layangan kad merah itu merupakan yang ketiga diperoleh pasukan KDA FC selepas insiden membabitkan kapten pasukan, Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain semasa aksi menentang PDRM FC, tempoh hari.

Pemain Kuching City FC, Abu Kamara juga turut menerima nasib sama apabila menerima kad merah pada minit ke-87.

"Pemain Kedah kena jaga emosi, jangan layan sangat provokasi pihak lawan kerana ia merugikan pasukan. Banyak dah game nampak pemain Kedah termakan provokasi pihak lawan," kata seorang penyokong, Dhiaul Ihsan Shaifuddin.

Selain isu kad merah, ada penyokong berasakan permainan Kedah masih belum cukup kemas tambahan lagi ada pemain yang dilihat bersikap tamak dalam percubaan mendapatkan jaringan.

"Lee Tuck nampak tamak, suka pulun bola sendiri untuk dia. Harap perlawanan seterusnya boleh dapat bermain dalam satu pasukan. Willian Lira pula tak kreatif, masih tiada idea apabila bola sampai kat kaki dia," kata Syaiful Jaina pula.

Kedah kini berada di kedudukan ketiga di belakang Johor Darul Takzim dan Sabah FC dengan kutipan 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram