LEGENDA Arsenal, Thierry Henry menasihati sebuah lagi pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United untuk mendapatkan khidmat penyerang muda senasi, Khvicha Kvaratskhelia.
Pemain sayap yang ketika ini berada bersama Napoli itu dilaporkan sedang diintai beberapa pasukan sekitar Eropah, termasuk Real Madrid dan Manchester City.
Menurut Henry, kemampuan yang dimiliki pemain berusia 22 tahun itu cukup menarik serta lengkap dalam hampir kesemua aspek permainan seperti larian dan hantaran-hantaran pendek.
"Dia mempunyai sepasang kaki yang cukup baik untuk membolehkannya mencipta gandingan bersama rakan sepasukan, Victor Osimhen.
"Saya boleh menyifatkannya sebagai sebuah pakej lengkap. Saya juga berharap ia dapat berterusan kerana ia boleh membantu Napoli memenangi Serie A musim ini," katanya.
Kvaratskhelia menjadi watak utama dalam pemburuan geleran Serie A bersama Napoli.
Selain Henry, beberapa figura ternama dalam bola sepak juga tidak ketinggalan menjulang nama pemain antarabangsa Georgia itu dengan pengurus Napoli, Luciano Spaletti menyamakannya dengan legenda Manchester United, George Best.
"Jaringan dan cara permainan Kvaratskhelia cukup baik. Jika dia memilih untuk pergi ke EPL, hari-hari seperti George Best akan berulang," kata Spaletti.
Bagaimanapun, Manchester United pastinya terpaksa melakukan pertimbangan untuk mendapatkan pemain itu dengan beberapa agensi media antarabangsa melaporkan kelab Itali itu akan meminta bayaran sehingga RM483 juta (100 juta Euro).
Tambahan pula, skuad The Red Devils ketika ini memiliki beberapa pemain sayap, termasuk Jadon Sancho yang menyertai mereka pada jendela perpindahan musim panas 2021. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram