MANCHESTER United bangkit daripada kekalahan memalukan di tangan Liverpool dengan menewaskan Real Betis 4-1 dalam perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Europa di Old Trafford, England.
Skuad The Red Devils menyamai rekod kekalahan terbesar dan terburuk mereka sejak tahun 1931 apabila tewas 0-7 di Anfield pada Ahad lalu.
Meskipun diaibkan dalam perlawanan tersebut, Erik ten Hag tidak mengubah kesebelasan utama dan ternyata percaturannya membuahkan hasil untuk meletakkan sebelah kaki ke suku akhir.
"Kami mampu bangkit semula...pasukan ini mempunyai karakter, jadi satu pujian buat mereka," kata Ten Hag.
Bruno bersikap positif biarpun menerima kritikan berikutan kekalahan kepada Liverpool, tempoh hari. — Agensi
Pengendali dari Belanda itu turut memuji kapten pasukan, Bruno Fernandes yang menunjukkan sikap dan mentaliti positif biarpun menerima kritikan berikutan kekalahan kepada Liverpool.
"Bruno amat cemerlang. Dia menerajui pasukan dari minit pertama, menetapkan corak permainan dan menjaringkan gol, jadi saya amat gembira," katanya.
Dalam perlawanan itu, Man United memperoleh gol sulung hasil jaringan Marcus Rashford sebelum Betis menyamakan kedudukan menerusi Ayoze Perez.
Gol kedua pula dicetak oleh Antony dos Santos sebelum Bruno meletakkan Man United selesa di depan. Wout Weghorst kemudian menjaringkan gol keempat ketika permainan berbaki enam minit.
Marcus meraikan gol bersama Bruno ketika menentang Real Betis di Old Trafford. — Agensi
Sementara itu, Ten Hag turut menegaskan Bruno akan kekal sebagai kapten pasukan, walaupun terdapat desakan agar lilitan tersebut dilucutkan daripadanya.
“Dia memainkan peranan besar untuk meletakkan di mana kelab ini berada pada hari ini. Setiap orang melakukan kesilapan dan kita belajar daripadanya. Saya juga harus belajar dan dia juga akan belajar.
“Dia adalah pemain yang bijak. Saya sangat gembira dia adalah pemain kami dan dia adalah kapten pasukan apabila Harry Maguire tidak bermain,” katanya.
Sebelum ini bekas kapten Manchester United, Gary Neville dan Roy Keane adalah antara yang paling lantang mengkritik Bruno yang disifatkan mereka sebagai memalukan.
Man United kini berada di kedudukan ketiga di Liga Perdana Inggeris, 14 mata di belakang pendahulu, Arsenal dan kelebihan 7 mata ke atas Liverpool. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram