Fans mula seru nama Hai-O tapi ada sebab jadi penghalang ganti Tomi


  • Podium
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Strategi Tomislav dikatakan kurang berkesan dalam Liga Super.

SKUAD Terengganu FC (TFC) terpaksa akur berada di kedudukan ke-8 Liga Super apabila hanya mencatatkan satu kemenangan ketika berdepan dengan PDRM FC 1-0 di Stadium Mizan Zainal Abidin, tempoh hari.

Kekalahan terus membelenggu pasukan Hitam Putih kendalian Tomislav Steinbruckner apabila tidak berjaya membawa pulang tiga mata kerana tewas 2-1 di tangan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Khamis.

Walaupun penyerang berbisa Adisak Kraisorn berjaya menjaringkan gol pada minit ke-45 untuk menyamakan kedudukan pada babak pertama namun skuad Hitam Putih terpaksa akur selepas pemain import NSFC, Casagrande berjaya membolosi benteng pertahanan Sang Penyu untuk berada di depan.

Skuad Sang Penyu hanya berjaya mengutip empat mata dan kini berkongsi mata dengan pasukan PDRM FC.

Ekoran kekalahan itu, rata-rata penyokong Sang Penyu menyatakan tidak berpuas hati dengan kendalian jurulatih pasukan tersebut kerana gagal untuk menunjukkan aksi yang cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

hai o

Hai-O berpengalaman dalam arena bola sepak Malaysia.

Terdapat penyokong TFC menginginkan pengendali Croatia itu digantikan dengan Hairuddin Omar atau lebih dikenali dengan gelaran Hai-O yang kini mengendalikan skuad Bawah 23 Terengganu FC bagi menghadapi saingan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Hai-O yang merupakan bekas pemain kebangsaan tentunya sudah pasti ada resipi atau strategi yang menarik untuk mengatur serangan jika dia diberikan kesempatan mengendalikan pasukan TFC.

Berbeza dengan Tomislav, walaupun pengendali Croatia itu berkelebihan kerana mempunyai lesen yang menyebabkan dia layak untuk menjadi jurulatih pasukan tersebut. Namun prestasi yang ditunjukkan oleh skuad Hitam Putih itu menyebabkan jawatan disandangnya dipertikai.

Penyokong TFC berpendapat cara untuk menyelamatkan pasukan kegemaran mereka pada musim ini adalah dengan membuat keputusan drastik menggantikan jurulatih Sang Penyu. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram