'Squad depth' Kedah makin mantap, bintang dalam pembikinan rupanya menyorok di skuad B


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Ebenezer (kiri) hanya diletakkan dalam Skuad simpanan KDA FC B.

WALAUPUN berada di kedudukan yang baik iaitu di tangga keempat Liga Super, prestasi Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat masih kurang memuaskan dan bagi penyokong Hijau Kuning, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki oleh skuad Sang Kenari jika mahu kekal memberi saingan kepada pasukan lawan.

Antara kelemahan ketara yang perlu diperbaiki pasukan itu ialah jentera serangan dengan mereka masih tidak memberi impak seperti diharapkan kepada kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 07.14.47

Lira yang dikatakan tidak menunjukkan prestasi positif selama empat perlawanan.

Penyerang Sang Kenari, Willian Lira dan Jonathan Balotelli yang dikatakan mempunyai masalah kerana ketumpulan mereka sebagai penyudah membuatkan ramai penyokong memberi kritikan kepada kedua-duanya.

Walaupun Lira sebagai penyerang utama KDA FC berjaya menyumbangkan dua gol buat skuad Hijau Kuning itu sepanjang empat Liga Super namun para penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain dari Brazil itu.

Selain itu, Balotelli didakwa tidak menunjukkan prestasi yang positif kerana hanya mampu menjaringkan satu gol untuk pasukan KDA FC selama empat perlawanan.

Di sebalik keresahan penyokong terhadap kedua-dua tonggak barisan serangan itu, senyuman mulai terukir apabila penyerang dari skuad simpanan Sang Kenari memberi sinar baharu untuk membantu KDA FC mencetak lebih banyak jaringan.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 07.14.46

Aksi persembahan yang ditunjukkan oleh Assufiah ketika menentang Skuad Projek FAM/MSN.

Pemain tersebut ialah Ebenezer Assifuah yang kini menjadi tunjang utama pasukan Bawah 23-tahun Kedah dalam saingan Piala MFL.

Assifuah menarik perhatian penyokong apabila berjaya mematahkan benteng pertahanan Skuad Projek FAM-MSN dengan jaringan dua gol pada perlawanan Piala MFL baru-baru ini.

Bintang import itu dikatakan mempunyai peluang yang cerah untuk menggantikan Lira atau Balotelli itu dalam membantu KDA FC untuk perlawanan seterusnya kerana berjaya mencetak tiga gol dalam dua perlawanan di saingan Piala MFL.

Sebelum ini, penyerang berusia 29 tahun itu pernah sama-sama bersaing dengan bintang terkemuka dunia, Paul Pogba dan Samuel Umtiti yang memiliki perjalanan karier lebih cerah berbandingnya.

Di samping menunjukkan aksi persembahan yang baik di atas padang, pemain berasal dari Ghana tersebut juga memiliki kelincahan dalam permainan dan kerap menggunakan kaki kiri.

Selain itu, Assifuah difahamkan mempunyai kebolehan dalam melakukan sepakan deras dengan kaki kirinya dan ia dilihat sebagai satu kelebihan untuk Skuad Sang Kenari.

Dia juga dikatakan berpengalaman dalam dunia bola sepak kerana merupakan bekas bintang muda Ghana yang pernah menyinar dalam kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2013.

Pada waktu itu, namanya menjadi sebutan ramai untuk melangkah lebih jauh selepas menyapu gelaran penjaring terbanyak kejohanan tersebut dengan enam gol.

Sebelum secara rasmi beraksi bersama KDA FC, penyokong Sang Kenari rata-ratanya menyangka bahawa Assifuah tidak mengikat kontrak dengan Kedah namun rekod jaringan dalam saingan Piala MFL membuktikan Nafuzi membina 'squad depth' yang mantap untuk Kedah.

Selain daripada Assifuah, penyokong juga dikatakan memuji corak permainan Faisal Talib yang semakin matang susulan kejayaannya mencetak gol pada minit ke 54 ketika menewaskan Skuad Projek FAM-MSN pada Rabu.

Penyokong turut mengatakan bahawa penyerang Skuad Hijau Kuning itu adalah ubi muda yang perlu diberi perhatian oleh jurulatih agar dapat menyinar dalam perlawanan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram