Tiga pengganti Soony mampu bantu Penang FC calar rekod Sabah FC


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Soony dilayangkan kad merah ketika menentang Kelantan FC dan digantung beberapa perlawanan. — Facebook/PenangFC

PENANG FC nampaknya terpaksa akur berada di kedudukan yang ke-11 selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan selepas empat perlawanan.

Skuad Harimau Kumbang bakal berdepan cabaran getir apabila akan bertandang ke Stadium Likas, Sabah pada Jumaat untuk menghadapi anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Cabaran utama pasukan tersebut adalah setakat ini pastinya akan hadir daripada skuad The Rhinos yang masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam kancah Liga Super setakat ini.

Namun begitu, usaha skuad Harimau Kumbang dilihat semakin dibebani dengan kehilangan pemain sayap kiri, Soony Saad yang nampaknya tidak dapat membantu pasukannya selepas dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang Kelantan FC pada 5 Mac.

Sehubungan itu, bagi menutup kekosongan yang ditinggalkan, terdapat tiga pemain yang sesuai beraksi dengan posisi sama seperti pemain import Lebanon itu.

1) Asnan Ahmad

WhatsApp Image 2023-03-16 at 21.21.23

Asnan, ubi muda yang diberi perhatian untuk mengisi kekosongan sayap kiri Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC

Pemain berasal dari Pendang, Kedah dikatakan boleh mengisi kekosongan posisi pemain sayap kiri kerana pernah mencipta satu bantuan gol dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Piala FA.

Selain itu, dia menunjukkan perkembangan menarik apabila dia diberikan penampilan pertama dalam saingan Liga Super ketika menentang Selangor FC, yang mana dia bermain selama 34 minit.

Walaupun Asnan lebih gemar diturunkan sebagai pemain tengah bertahan, kemampuannya untuk melakukan hantaran kemas ke dalam kotak penalti lawan sudah cukup untuk menamakannya sebagai pengganti Soony.

2) Giovane Gomes

WhatsApp Image 2023-03-16 at 21.21.20

Giovane mempunyai kelebihan untuk menggantikan Soony apabila berdepan dengan Sabah FC. — Facebook/PenangFC

Kekosongan sementara yang ditinggalkan Soony juga boleh diisi oleh pemain import Brazil, Giovane Gomes kerana pengalamannya dalam dunia bola sepak cukup luas apabila pernah bermain dengan beberapa kelab di sekitar Amerika Selatan.

Gomes boleh dianggap sebagai salah seorang tunjang buat skuad Harimau Kumbang kerana sudah membolosi gawang lawan ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City dengan jaringan pada minit ke-85 perlawanan Liga Super mengikat kedua-dua pasukan.

Jadi, dengan dia ketika ini mempunyai kelebihan untuk menjaringkan gol, ketua jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt pastinya akan lebih tertarik dalam meletakkannya di posisi yang ditampung Soony.

3) Rahmat Makasuf

WhatsApp Image 2023-03-16 at 21.21.19-2

Aksi cemerlang Rahmat ketika menentang Selangor FC. — Facebook/PenangFC

Pemain berusia 26 tahun itu turut diilihat mempunyai beberapa peluang untuk membantu pasukan Utara Tanah Air walaupun tidak menghasilkan sebarang gol.

Dia yang sebelum ini hanya memanaskan bangku simpanan di Terengganu FC berjaya mencipta nama musim ini sepanjang beraksi bersama skuad Harimau Kumbang.

Tambahan pula, persembahannya yang cukup cemerlang ketika berdepan Selangor FC sebelum ini sudah cukup untuk melayakkannya berada dalam kesebelasan utama sebagai seorang pemain menyerang.

Malah jika diberi peluang, Rahmat boleh membuktikan dirinya untuk merebut tempat dalam skuad utama, sekali gus dalam mencetuskan persaingan yang sihat dalam pasukan selain memberi nilai tambah kepada Penang FC dalam mengubah corak permainan berdasarkan kemampuan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram