Dion Cools antara 4 pemain sukses lepas jadi 'bahan eksperimen'


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Dion Cools sebelum ini beraksi sebagai bek kanan sebelum ditukarkan ke pertahanan tengah. — Facebook/FAM

SEPANJANG bergelar pemain bola sepak profesional mereka pastinya sudah diasah untuk mahir dalam satu-satu posisi yang dimainkannya.

Akan tetapi ada beberapa pemain yang mengubah posisi asal mereka dan menjadi salah satu pemain yang paling penting buat pasukan diwakili mereka.

Banyak beberapa pemain profesional yang mengubah posisi mereka untuk memaksimumkan bakat sedia ada, malah perubahan itu turut memberikan kelebihan buat jurulatih pasukan.

Namun adakah anda tahu pemain-pemain di negara ini juga ada yang mengubah posisi mereka sekali gus beraksi lebih baik dari posisi asal.

Ini merupakan empat pemain yang mengubah posisi asal dan beraksi cemerlang:

Adam Nor Azlin

Adam Nor Azlin ketika beraksi bersama JDT II dalam Piala MFL. Facebook/JDT FC

1. Adam Nor Azlin: Penyerang jadi pertahanan tengah

Sebelum ini Adam Nor Azlin bermain sebagai penyerang bersama Selangor FC namun ditukarkan ke posisi pertahanan dan mula mendapat perhatian jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee pada 2018.

Pernah menempa nama selaku pertahanan muda terbaik dalam negara, Adam berjaya membantu skuad Harimau Muda melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia B-23 pada 2018.

Namun nama dia kini semakin tenggelam apabila gagal merebut kesebelasan utama pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Pada musim lepas, Adam hanya bermain sebanyak enam perlawanan dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa bersama JDT.

Kehadiran Jordi Amat pasti lebih sukar untuk Adam menembusi kesebelasan utama JDT dengan pemain muda, Feroz Baharudin sering menjadi pilihan ketua jurulatih.

Jafri Chew menyertai Sabah FC musim ini. Facebook/Sabah FC

2. Jafri Chew: Penyerang jadi pertahanan kanan

Sebelum ini bekas pemain Penang FC, Jafri Firdaus Chew komited untuk terus kekal sebagai pertahanan kanan demi kariernya untuk lebih banyak beraksi dalam kesebelasan utama.

Bekas pemain kebangsaan B-23 itu pernah mengakui ia tugas berat kerana mengubah posisi kegemaran dari penyerang ke pertahanan kanan.

Namun perubahan posisi itu ternyata berjaya menarik minat pasukan Sabah apabila memancingnya untuk menyertai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee musim ini.

Jafri Chew sudah dua kali diturunkan dalam kesebelasan utama sebagai pertahanan kanan ketika menentang Sri Pahang FC dan Kuching City pada musim ini.

Dion Cools musim ini beraksi bersama Buriram United. Facebook/Buriram United

3. Dion Cools: Pertahanan kanan jadi pertahanan tengah

Kehadiran Dion Cools ternyata memberi impak segera buat skuad kebangsaan apabila dia berjaya membantu Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2023.

Bekas Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe sebelum ini menurunkan Cools di posisi pertahanan tengah, berbeza dengan posisi utama pemain itu ketika beraksi di peringkat kelab iaitu pertahanan kanan.

Namun sehingga kini posisi pertahanan tengah dilihat menjadi posisi kegemaran Cools apabila Buriram United turut meletakkannya di bahagian itu.

Sejak menyertai Buriram United, Cools dilihat sudah berkali-kali membarisi kesebelasan utama terbaik mingguan di Liga Thailand.

Ruventhiran antara tonggak penting skuad Harimau Malaya di dalam kempen Piala AFF 2022. Facebook/Selangor FC

4. V. Ruventhiran: Pertahanan kiri jadi sayap kiri

Tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, V. Ruventhiran melebarkan ‘sayap’ dengan menjadi pemain baru pasukan Selangor FC bagi mengharungi Liga Super musim ini.

Lebih manis, kehadiran Ruventhiran yang mewakili skuad Petaling Jaya City (PJ City) sebelum ini boleh dianggap sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ memandangkan dirinya merupakan bekas pemain pembangunan Gergasi Merah.

Namun adakah anda tahu ketika bersama PJ City, Ruventhiran beraksi sebagai dua posisi iaitu bek kiri dan sayap kiri.

Disebabkan prestasi dia cemerlang ketika bermain di dua posisi itu berjaya menarik minat Kim Pan-gon untuk memanggilnya ke dalam skuad kebangsaan.

Ruventhiran turut menjadi tonggak penting skuad Harimau Malaya di dalam kempen Piala AFF 2022 sehingga berjaya membantu skuad kebangsaan melangkah ke peringkat separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram