Fokus perbaiki kedudukan carta liga, NSFC mula tunjuk karakter sebenar — Devan


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Pemain NSFC, Levy Madinda (kanan) meraikan jaringan golnya ketika menentang TFC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Khamis. — Bernama

KEMENANGAN pertama Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Khamis memberikan petanda positif buat pasukan untuk tampil lebih progresif dalam saingan liga musim ini.

Ketua Jurulatih, K. Devan berkata, pasukannya menunjukkan karakter sebenar sepanjang perlawanan dan tampil lebih berkeyakinan untuk meraih kemenangan di halaman sendiri.

"Perlawanan sebelum ini, kita kalah dengan pasukan terbaik. Pasukan tidak boleh bawa perkara itu dalam perlawanan seterusnya, fokus pasukan adalah memperbaiki kedudukan dalam carta.

"Hari ini (Khamis) satu persembahan yang penuh bersemangat dipamerkan oleh pasukan, terutamanya pada separuh masa kedua, kepantasan dan intensiti pemain semakin bagus," katanya kepada pemberita selepas mencatat kemenangan menewaskan Terengganu 2-1.

SEREMBAN, 16 Mac -- Pemain Negeri Sembilan Che Rashid Halim (dua, kiri) dikawal oleh pemain Terengganu FC Shahrul Nizam pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini.Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC terikat 1-1 pada separuh masa pertama.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pemain NSFC Che Rashid Halim (dua, kiri) dikawal oleh pemain TFC Shahrul Nizam pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. — Bernama

Devan berkata, kemasukan pemain Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada separuh masa kedua menggantikan Mahalli Jasuli lebih berkesan apabila membantu pasukan mencipta gol kemenangan.

Katanya, waktu rehat beberapa minggu ini memberi peluang kepadanya untuk menumpukan perhatian terhadap beberapa pemain import untuk mendapatkan persefahaman dengan pemain tempatan serta meningkatkan prestasi pasukan.

NSFC dijadual menerima kunjungan Kelantan FC pada 1 April ini. Skuad Hobin Jang Hobin kini menduduki tempat ketujuh liga dengan lima mata. Johor Darul Takzim (JDT) mengungguli carta dengan 12 mata diikuti Sabah dan Selangor, masing-masing 10 mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bola sepak, Liga Super, NSFC, K. Devan, Liga Super, JDT