[VIDEO] Gol padu pemain muda Pahang berpotensi menang Puskas walaupun hanya aksi Piala MFL


  • Podium
  • Khamis, 16 Mac 2023

Nasyrullah (tiga dari kiri) menjadi wira dengan menjaringkan gol kemenangan skuad Tok Gajah B23 pada Jumaat lalu.. — Facebook

TERNYATA Skuad Tok Gajah Bawah 23 (B23) mempunyai kehebatannya yang tersendiri apabila beraksi dengan baik dalam dua perlawanan Piala MFL setakat ini.

Dalam perlawanan menentang Kuching City FC B23 di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Jumaat lalu menyaksikan ledakan ubi muda skuad Tok Gajah, Nasyrullah Zaki dilihat cukup cantik dan berkualiti.

Manakan tidak, gol jarak jauh pemain berusia 21 tahun itu dijaringkan dari tengah padang sekali gus menggegarkan stadium dengan sorakan penyokong.

Gol itu bukan saja menarik perhatian peminat Sri Pahang FC, tetapi sebenarnya turut mencuri hati penyokong bola sepak kelab lain yang kagum dengan jaringan itu.

Dalam perlawanan tersebut jaringan tunggal daripada Nasyrullah memberi kemenangan buat Sri Pahang FC dengan keputusan 1-0 menentang skuad The Cats.

Video jaringan Nasyrullah juga dimuat naik oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan dikongsikan semula di laman Twitter TokGajah.com dan ia mendapat sambutan serta respons pantas ramai peminat bola sepak tempatan.

Malah ramai mahu melihat gol terbabit dicalonkan dalam Anugerah Puskas yang dilihat berpotensi untuk muncul antara gol terbaik sepanjang tahun ini.

Seorang pengguna Twitter, @Din_Dini berkata, rembatan Nasyrullah sebaris dengan Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Fifa pada 2016 lalu.

"Wah, layak dicalonkan untuk anugerah Puskas. Macam Faiz Subri, padu. Hebat anak muda," ciapnya.

Seorang lagi warga maya @aimansalehin turut kagum dengan tendangan gol Nasyrullah.

"Puskas," katanya ringkas.

Sebelum ini, jaringan pemain muda Negeri Sembilan FC, Sean Selvaraj turut dikatakan bertaraf dunia sehingga menarik perhatian agensi media antarabangsa.

Ketika ini, skuad muda Tok Gajah berada di tempat ketiga Kumpulan B Piala MFL dengan empat mata dikumpul selepas dua perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram