Taring Harimau Selatan kembali, gabungan duo samba Brazil bakal gegar Selangor


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Penyokong pastinya tidak sabar melihat gandingan Diogo dan Bergson menentang Selangor FC Khamis ini. — Facebook/JohorSouthernTiger

KEMUNCULAN penyerang berbisa Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva dalam sesi latihan di pusat latihan pada Isnin semestinya menaikkan semangat penyokong.

Hal ini kerana, pemain import dari Brazil itu terpaksa direhatkan dalam beberapa aksi perlawanan Liga Super sebelum ini kerana mengalami kecederaan.

Melalui gambar yang dimuat naik di halaman sosial media rasmi JDT, Facebook Johor Southern Tigers, penyerang berusia 32 tahun itu sudah memulakan latihan bersama rakan sepasukannya.

Walaupun skuad Harimau Selatan cemerlang menumpaskan pasukan lawan dalam empat perlawanan, kelibat pemain berketinggian 1.81 meter itu sememangnya dirindui penyokong bola sepak tanah air.

Masakan tidak, Bergson boleh dianggap sebagai tulang belakang dalam setiap kejayaan pasukan JDT setiap kali beraksi.

Ia terbukti apabila peledak berbisa itu dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.

Namun, pada ketika ini apa yang paling mengujakan penyokong ialah gandingan Bergson bersama seorang lagi pemain import dari Brazil, Diogo Luís Santo.

336030540_203556625750865_8309534761067031926_n

Bergson dilihat memulakan latihan pada Isnin melalui gambar yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tiger. — Facebook

Penyokong pastinya tidak sabar melihat gandingan duo Samba Brazil itu lebih-lebih lagi ketika menentang musuh tradisi Selangor FC pada Khamis ini.

Sekiranya bakal terjadi, ia bukan sahaja menguatkan lagi pasukan dan juga mengubah corak permainan pada ketika ini.

Selain itu, ia memberi kelebihan kepada kedua-dua pemain itu untuk berkomunikasi sekali gus menjadikan rentak permainan lebih menarik.

Menjengah ke sosial media, rata -rata penyokong tidak sabar untuk melihat kehadiran Bergson dan Diogo di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) nanti.

Seorang penyokong Aiman Man berkata, sekiranya kedua-dua penyerang itu diturunkan dalam kesebelasan utama nanti, ia adalah satu langkah bijak dari ketua jurulatih JDT, Estaban Solari.

"Aku tak sabar nak tengok gandingan Diogo dan Bergson ini. Dua-dua 'mesin' gol, mantap. Tambah-tambah lagi ada Arif Aiman," tulisnya.

Hanafi Nafi meluahkan rasa gembiranya melihat gambar Bergson yang sudah mula menjalankan latihan.

"Saja simpan bila jumpa Selangor nanti gandingkan dengan Diogo, Forestieri dan Arif Aiman.

"Kena banyak training set piece. Bab Piee (Khuzaimie), Fazly Mazlan dan Brendan Gan akan sentiasa banyak lalukan kekasaran. Juan Muniz perlu train free kick," katanya.

Sementara itu, Emilia pula meninggalkan komen yang sinis buat penyerang skuad Gergasi Merah.

"Habis Mickey (Faisal Halim) tenggelam. Jangan gatal buat provokasi sudah. Duo Samba Brazil nak bergabung ini," katanya.

Setakat ini, skuad Harimau Selatan menduduki tangga pertama dalam carta Liga Super dengan mengumpul 12 mata manakala Selangor FC pula berada di tempat ketiga dengan mengumpul 10 mata dalam empat perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram