Nak apa lagi? 3 bintang tercicir panggilan HM walaupun ‘perform’ kat Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 15 Mac 2023

Syahmi Safari (kiri) antara pemain yang dipertikai oleh penyokong bola sepak kerana dipanggil ke dalam kem skuad kebangsaan. — Agensi

KETIADAAN nama kapten pasukan kebangsaan, Safawi Rasid dalam panggilan skuad Harimau Malaya menjadi tanda tanya selepas senarai rasmi 27 pemain utama dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa.

Seperti yang dijangka oleh penyokong Harimau Malaya, dua pemain naturalisasi baharu negara, Endrick dos Santos dan Paulo Josue berjaya menerima panggilan skuad kebangsaan buat kali pertama selepas mendapat status kewarganegaraan Malaysia pada musim ini.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil 27 pemain untuk menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Namun timbul persoalan keberadaan beberapa nama dalam panggilan skuad kebangsaan kali ini.

Antaranya ialah trio Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad dan Muhammad Syahmi Safari.

Ketiga-tiga pemain yang beraksi bersama JDT itu dilihat tidak mempunyai minit permainan secukupnya berbanding pemain lain yang turut beraksi di posisi sama.

Ini merupakan tiga pemain yang beraksi baik dalam Liga Super namun tercicir dari panggilan skuad kebangsaan:

Zikri Khalili

Zikri Khalili kini menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe. — Facebook/Selangor FC

1. Zikri Khalili

Musim lepas, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe lebih gemar menurunkan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng sebagai pertahanan kanan.

Perkara tersebut menyaksikan dia diberikan kepercayaan barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk memanggilnya ke dalam skuad Piala AFF 2023.

Bagaimanapun, dengan kualitinya mula dipersoalkan sejak penghujung musim lalu, dia akhirnya digugurkan bagi memberi laluan kepada seorang lagi pemain muda, Ahmad Zikri Khalili.

Keputusan berkenaan seolah-olah membuahkan hasil apabila skuad Gergasi Merah semakin sukar untuk ditembusi selepas empat perlawanan Liga Super.

Jadi, bagi terus memberi peluang buat Zikri berkembang, adalah wajar buat Pan-gon memanggil dia di masa akan datang untuk bersama skuad kebangsaan.

Irfan Zakaria baru menyertai Sabah FC musim ini. Facebook/Sabah FC

2. Irfan Zakaria

Pemain berusia 27 tahun itu kembali mendapat perhatian penyokong bola sepak apabila beraksi baik bersama Sabah FC musim ini.

Irfan memiliki pengalaman yang luas dalam kancah bola sepak tempatan dan sering mendapat kepercayaan daripada jurulatih untuk diturunkan ke padang.

Antara pengalaman tertinggi Irfan beraksi di pentas tertinggi adalah kejohanan Piala AFC dan berada dalam skuad Harimau Malaya.

Biarpun berada di posisi pertahanan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu juga berjaya mampu melakukan sumbangan gol buat pasukan.

Bersama Sabah FC, Irfan menjadi pilihan utama Datuk Ong Kim Swee dalam empat perlawanan terakhir Liga Super yang menyaksikan mereka mencatat tiga kemenangan dan satu seri.

Azrif Nasrulhaq (kanan) ketika diasak pemain Selangor FC. Facebook/Sri Pahang FC

3. Azrif Nasrulhaq

Selepas bertahun-tahun hilang dari radar dunia bola sepak Malaysia, akhirnya pemain kelahiran Selangor ini muncul semula apabila beraksi bersama Sri Pahang FC.

Azrif yang dikenali dengan sifat agresifnya ketika bermain bola berjaya menambat hati penyokong pasukan Sri Pahang.

Pemain berusia 31 tahun ini berjaya menampilkan aksi yang baik ketika bertemu Selangor dan Sabah sehingga membantu pasukannya mendapatkan satu mata.

Azrif mungkin pilihan alternatif buat Kim Pan-gon yang mana ketika ini orang ramai tidak bersetuju dengan pemilihan Syahmi Safari ke dalam skuad kebangsaan.

Harimau Malaya

Senarai 27 pemain yang dipanggil Pan-gon untuk berdepan dua perlawanan persahabatan antarabangsa. Facebook/FAM

Malaysia akan berdepan dua perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 berdepan Turkmenistan dan Hong-Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan terlebih dulu menentang Turkmenistan pada 23 Mac (Khamis) manakala Hong Kong pada 28 Mac (Selasa). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram