TERENGGANU FC (TFC) gagal meneruskan rentak kecemerlangan ketika berdepan PDRM FC apabila dihentikan oleh anak buah K.Devan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada Khamis.
Permainan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan membalas serangan ke kawasan lawan masing-masing.
Terengganu hampir menjaringkan gol seawal minit permainan menerusi tampanan Liridon Krasniqi namun sepakan itu terlalu kuat dan melambung ke atas gawang gol.
Negeri Sembilan FC (NSFC) menerusi gerakan serangan balas berjaya memecah kebuntuan gol melalui hantaran Herold Goulon yang disudahi oleh Levy Madinda pada minit ke-29.
Habib Haroon kembali ke dalam kesebelasan utama TFC. — Facebook/TFC
Namun sebelum tamat separuh masa pertama, Terengganu berjaya bangkit menerusi tampanan Adisak Kraison selepas rembatan Sony Norde ke arah penjaga gol NSFC berjaya ditepis.
Negeri Sembilan dilihat tidak berputus asa pada babak masa kedua apabila bersabar melancarkan serangan di kawasan Terengganu.
Akhirnya pada minit ke-63 NSFC berjaya menjaringkan gol menerusi Casagrande menerusi hantaran Tommy Mawat Bada.
Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan meraih kemenangan pertama Liga Super.
Manakala Terengganu kembali mencatat kekalahan kedua dalam lima perlawanan liga.
Adisak berjaya menjaringkan gol sagu hati buat TFC. — Facebook/TFC
Kekalahan tersebut nyata mengundang rasa tidak puas hati penyokong Terengganu apabila mereka dilihat tidak gemar dengan corak permainan beberapa pemain di atas padang.
"Domagoj Pusic lebih elok tak main, Terengganu banyak peluang tapi tak ada gol, Sony Norde pula benda mudah nak gol dia pergi buat susah," kata Amin Rashid.
"Azam Azmi buat apa depan gol? Syafik Ismail kelam kabut, Sony Norde jenis nak main seorang-seorang tak passing bola, lepas itu tendang semua ke laut," ujar Nur Rizman.
"Main tak ada seni lansung, selalu jem Azam Azmi ini bawa bola," jelas Ayiee Naufail.
"Buat apa Sony Norde itu jadi raja gelek sangat? Main lima game dah, tapi one on one dengan penjaga gol pun tak boleh lepas," kata Cik Lya Abdullah.
"Liridon jadi penyerang sangat tak berguna, berat sangat," luah Md Nasir Ismail.
Dengan keputusan itu menyaksikan Terengganu FC kini berada di tangga ke lapan liga dengan empat mata.
Manakala Negeri Sembilan berjaya memintas Terengganu di tangga ketujuh liga dengan lima mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram