Menjelang aksi persahabatan, 3 pemain 'skuad mesin' bakal digugurkan Pan-gon


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Panggilan skuad kebangsaan kali ini dijangka akan dipenuhi dengan pemain-pemain JDT.

SELEPAS mencipta pelbagai kejayaan pada tahun lalu termasuk layak ke Piala Asia 2023, semakin ramai penyokong bola sepak tidak sabar mahu menyaksikan pasukan kebangsaan turun beraksi pada minggu depan.

Malah pemain ke-12 sudah pasti menantikan pengumuman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pemain-pemain yang akan dipanggil Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong dan Turkmenistan.

Malaysia akan terlebih dulu menentang Turkmenistan pada 23 Mac (Khamis) manakala Hong Kong pada 28 Mac (Selasa) dan kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Banyak pemain dari skuad Piala AFF dijangka bakal digugurkan oleh Pan-gon.

Namun apa yang menjadi persoalan kini adalah siapakah pemain dari skuad Piala AFF yang bakal digugurkan oleh Pan-gon walaupun mereka beraksi cemerlang ketika kejohanan tersebut.

Berikut tiga pemain yang dijangka digugurkan oleh Pan-gon pada perlawanan persahabatan bulan ini:

David Rowley. Facebook/FAM

1. David Rowley

Pemain kelahiran Australia ini pertama dipanggil oleh Pan-gon semasa kempen Piala AFF pada tahun lalu.

Prestasi cemerlangnya bersama skuad Tok Gajah berjaya menarik minat Pan-gon untuk menyenaraikan namanya ke dalam skuad akhir.

Namun ketika itu, pemain-pemain regular yang biasa dipanggil Pan-gon menolak panggilan kem skuad kebangsaan kerana kejohanan itu berada di luar kalendar FIFA.

Perlawanan persahabatan minggu ini termaktub di bawah kalendar FIFA dan sudah pastinya pemain-pemain regular skuad kebangsaan akan dipanggil.

Tambahan posisi tengah berkemungkinan akan diisi oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick dos Santos dan Paulo Josue.

Shamie Iszuan belum menampilkan sebarang penampilan bersama Sri Pahang FC.

2. Shamie Iszuan

Tidak pernah terfikir oleh penyokong bola sepak apabila Shamie Iszuan dipanggil oleh Pan-gon untuk membarisi skuad akhir Harimau Malaya bagi kejohanan Piala AFF.

Ini kerana skuad kebangsaan lebih gemar memanggil Mohamadou Sumareh untuk menjadi pilihan kedua Safawi Rasid atau Arif Aiman di posisi sayap.

Namun kecemerlangan yang ditampilkan pemain berusia 27 tahun itu bersama Sarawak United musim lalu ternyata menarik minat Pan-gon.

Musim ini Shamie yang baru sahaja berhijrah ke Sri Pahang FC masih lagi belum melakukan sebarang penampilan akibat kecederaan.

Gugurnya nama Shamie juga turut diambil kira faktor hadirnya semula bintang-bintang JDT seperti Arif Aiman, Akhyar Rashid dan lain-lain lagi.

Kedudukan Khuzaimi dalam skuad kebangsaan bakal tergugat dengan kehadiran pemain-pemain muda. Facebook/FAM

3. Khuzaimi Piee

Kecemerlangan yang ditampilkan pemain-pemain muda seperti Feroz Baharudin, Sharul Nazeem dan Shahrul Nizam pastinya membuatkan Pan-gon rambang mata untuk melengkapkan senarai pertahanan.

Khuzaimi atau lebih dikenali sebagai Jimmy baru sahaja melakukan penampilan pertama bersama skuad Gergasi Merah dalam pertarungan dramatik menentang Penang FC pada Ahad.

Berkemungkinan pemain berusia 29 tahun ini tidak akan dipanggil oleh Pan-gon kerana baru pulih dari kecederaan dan masih kurang minit permainan.

Malahan, Pan-gon mungkin lebih tertarik untuk mencuba pemain pertahanan baru yang tidak pernah dipanggilnya seperti Irfan Zakaria, Feroz, Daniel Ting yang sedang beraksi baik di dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram