'Nafuzi wajar tapi OKS saya tak pasti', Zainal Abidin komen isu kad merah Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Nafuzi (kiri) dan Kim Swee menjadi topik perbualan hangat bola sepak tanah air.

HANGAT. Itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan suasana awal Liga Super yang baru sahaja membuka tirainya hujung Februari lalu.

Jaringan-jaringan besar dijaringkan dua gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim dan Selangor FC pastinya sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai.

Tambahan pula, beberapa kekalahan mengejutkan, seperti ketika pertemuan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC menjadi bahan bualan di media sosial untuk tempoh yang panjang.

Namun, kesemua momen itu tidak boleh dibandingkan dengan beberapa keputusan pengadil yang kerap menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penggemar sukan itu.

Layangan kad merah terhadap pemain sudah cukup untuk menghiasi dada akhbar di samping menjadi topik perbualan hangat, lebih-lebih lagi di ruangan media sosial.

datuk-ong-kim-swee

Kim Swee (dua dari kanan) dilayangkan kad merah di Stadium Darul Makmur, Pahang. Stadium Astro

Tidak cukup dengan itu, dua pengendali berpengalaman, iaitu Datuk Ong Kim Swee dan Nafuzi Zain turut menjadi 'mangsa' ke atas keputusan pengadil yang dilabel sesetengah pihak kurang meyakinkan.

Kim Swee sebelum ini diarahkan untuk meninggalkan kawasan teknikal jurulatih apabila didapati melakukan protes berlebihan selepas penalti tidak diberikan kepada Sabah FC.

Dia yang sememangnya terkenal dengan personaliti sedemikian diarahkan pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharuddin ketika skuad Sang Badak berdepan Sri Pahang FC.

Selain itu, Nafuzi yang ketika ini membimbing KDA FC turut berdepan nasib sama apabila dia didapati melakukan sentuhan fizikal terhadap pegawai keempat perlawanan.

1978176

Tangkap layar memaparkan Nafuzi melakukan kekasaran fizikal terhadap pengadil keempat.

Pengadil perlawanan ketika itu, Mohd Azizan Saat Ariffin dilihat tidak berfikir panjang untuk mengarahkan bekas pengendali Terengganu FC berkenaan meninggalkan zon teknikal.

Antara persoalan yang pastinya berlegar dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan pastinya berkenaan profesionalisme petugas diarahkan FAM itu.

Oleh itu, bagi mendapatkan pandangan lebih wajar akan isu tersebut, pemerhati bola sepak tanah air, Zainal Abidin Rawop tampil menjelaskan berdasarkan pengalamannya dalam sukan terbabit.

"Saya percaya kedua-dua jurulatih itu bersikap profesional, tetapi untuk kes Nafuzi, mungkin dia sedikit keterlaluan yang mana tindakan itu sememangnya wajar.

"Tetapi, untuk Kim Swee pula, kita tidak pasti apa yang diperkatakan olehnya kepada pengadil yang bertugas," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, beberapa insiden juga pernah berlaku yang mana sudah tentu diperkatakan ramai pihak bagi membincangkan jika sesuatu tindakan itu wajar.

CO0lQa4U8AAq1Zp

Beberapa perkara menarik dikongsikan pemerhati bola sepak tanah air ini. Twitter/Astro Arena

Bagaimanapun, insiden yang melibatkan kedua-dua jurulatih ternama itu sukar untuk dilupakan apabila ia kerap diberikan perhatian.

Tambah Zainal, pengendali pasukan-pasukan Liga Super cukup dikenali dengan sikap tenang mereka, namun tidak dinafikan bahawa faktor perlawanan menjadi sebab atas perkara itu.

"Pengendali atau jurulatih, selalunya mereka dalam tekanan dan kadang-kadang, mereka dapat mengawal emosi, tetapi ada kalanya tidak," katanya.

"Salah satu daripada undang-undang perlawanan adalah budi bicara pengadil. Jadi, mungkin pengadil sudah menggunakan budi bicara mereka iaitu untuk menghukum jurulatih dengan kad merah," katanya.

Layangan kad merah itu menyaksikan Nafuzi tidak berada bersama pasukannya ketika mereka membawa pulang tiga mata berdepan Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Bagi Kim Swee pula, dia difahamkan tidak dibenarkan bersama anak-anak buahnya ketika aksi menentang Penang FC di laman sendiri pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram